Makmal Covid-19 Di Gaza Musnah Akibat Serangan Udara Israel | Konflik Israel dan Palestin masih tidak menemui jalan penyelesaian. Bahkan serangan-serangan yang dilancarkan semakin memuncak terutamanya pihak Israel yang bertindak kejam dengan menyasarkan kawasan awam dan yang terbaru mereka telah menyasarkan serangan udara kepada makmal Covid-19 di Gaza sehingga ia tidak dapat beroperasi lagi.
Makmal Covid-19 Di Gaza Musnah Akibat Serangan Udara Israel

Bandaraya Gaza: Pihak berkuasa tempatan berkata, satu-satunya makmal Covid-19 di kawasan Palestin dekat Gaza tidak lagi mampu melakukan saringan apabila ia musnah akibat daripada serangan udara yang dijalankan oleh pihak Israel di lokasi klinik berkenaan, semalam.

Pegawai berkata, struktur Klinik Al-Rimal, yang terletak di bandar Semenanjung Gaza itu separa musnah, selain Kementerian Kesihatan wilayah berkenaan dan Pejabat Bulan Sabit Merah Qatar turut terkena serangan.

Timbalan Menteri Kesihatan,  Yousef Abu Al-Rish, berkata beberapa kakitangan perubatan kementerian itu mengalami kecederaan dan ada antara mereka yang berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, jurucakap kementerian, Ashraf Qidra, berkata serangan Israel itu mengancam untuk melemahkan usaha kementerian kesihatan dalam menangani pandemik COVID-19, selain kemusnahan itu menyebabkan ujian saringan di makmal utama dihentikan.

Sebelum kejadian berbalas serangan antara Hamas dan Israel pada minggu lalu, pihak berkuasa Gaza  telah melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas hampir 1,600 orang sehari.

Kadar keputusan positif direkodkan adalah antara paling tinggi di dunia, iaitu pada 28 peratus, dan ia menyebabkan hospital sesak dengan pesakit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Semenanjung Gaza dengan kepadatan dua juta penduduk itu sudah menerima 122,000 dos vaksin setakat ini dengan lebih daripada separuh daripada mereka masih belum divaksin.

Tambah WHO, 103,000 orang sudah disahkan positif Covid-19 di Semenanjung Gaza dengan 930 orang daripadanya meninggal dunia.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply