Malaysia Antara Negara Pertama Di Dunia Sekat Pelancong Dari Wuhan China | Ramai maklum tentang Filipina dan Russia yang tegas sekat pelacong Wuhan. Tetapi ramai tak tahu, sebelum negara-negara tu lagi, Malaysia antara pertama lagi yang sekat pelancong dari Wuhan China.

MALAYSIA DAH SEKAT PELANCONG WUHAN SEJAK 23 JANUARI 2020 LAGI

Malaysia tidak lagi menerima pelancong daripada Wuhan sejak 23 Januari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi itu seiiring dengan langkah China yang mengisytiharkan sekatan udara dan darat terhadap 11 juta penduduk wilayah itu.

Menurutnya, selain sibuk menangani virus koronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut bergelut menangani berita palsu yang tular di media sosial.

“Tidak ada lagi pelancong dari Wuhan. Tapi, kita ada dua masalah iaitu virus (koronavirus) dan viral (berita palsu).

“Yang menjadi masalah meruncing adalah berita-berita palsu seumpama ini kononnya hanya kita yang tidak mengharamkan menutup pintu masuk warga China,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli.

Pelbagai berita palsu bertebaran di media sosial boleh mencetus kebimbangan rakyat.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat Malaysia supaya mengikuti perkembangan semasa mengenai virus tersebut melalui saluran KKM.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, KKM akan menambah 12 alat pengimbas haba dalam masa terdekat.

“Kita masih menunggu peruntukan daripada Kementerian Kewangan. Setakat ini negara mempunyai 54 pengimbas haba dan ditempatkan di pintu masuk utama.

“Kalau Menteri Kewangan dapat beri perolehan segera, saya jangka ia tidak akan mengambil masa lama,” katanya.

Setakat ini, seramai empat individu disahkan positif koronavirus, manakala lima yang lain suspek virus berkenaan dan kesemua yang terlibat ialah warga China.

TIADA KORONAVIRUS DI MELAKA

Kerajaan Melaka hari ini menafikan sebarang kes 2019 Novel Koronavirus (2019- nCOV) berlaku di Melaka seperti yang ditularkan dalam media sosial, sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata walaupun pada awalnya terdapat kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun yang didakwa mempunyai simpton koronavirus namun ia disahkan negatif selepas ujian di Hospital Kuala Lumpur tiga hari lalu.

“Kita menerima laporan bahawa terdapat seorang kanak-kanak warga China yang berada di negeri ini mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Ayer Keroh kerana demam pada 24 Januari lalu sebelum diminta pihak klinik merujuk ke Hospital Melaka tetapi keluarganya enggan berbuat demikian.

“Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak itu membawanya ke Hospital Kuala Lumpur pada hari sama untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian pengesahan tetapi negatif koronavirus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, rakyat di negeri ini diharap tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang berita ditularkan dalam media sosial berkaitan koronavirus sehingga ia disahkan Kementerian Kesihatan.

“Rakyat juga disaran menyemak segala maklumat terkini berkaitan Koronavirus menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan kerana ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Di peringkat negeri juga, kita akan bekerjasama dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kes Koronavirus dikesan di Melaka dan pengesahan itu akan dibuat pihak kementerian.

“Bagaimanapun, kita sentiasa ‘alert’ dengan perkembangan kes ini dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Semalam, tular dalam aplikasi Whatsapp dan media sosial mendakwa kononnya ada kes jangkitan koronavirus di Melaka sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply