Malaysia Gantung Import Lembu, Kerbau Thailand | Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan mengatakan bahawa pihaknya telah menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta merta.
JPV berkata, langkah tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) dari negara tersebut bagi melindungi industri ruminan negara.
Menurut JPV, walaupun penyakit LSD tidak zoonotik (tidak menjangkiti manusia) tetapi ia akan memberi kesan kepada industri ruminan termasuk kekurangan berat badan badan, pengeluaran tenusu, kemandulan serta keguguran kepada ternakan yang dijangkiti.
Oleh itu, JPV menggesa semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) agar memberikan kerjasama dengan membatalkan tempahan daripada pembekal lembu dan kerbau dari Thailand.
Pemain industri juga digesa untuk melaporkan segera kepada pihak veterinar negeri dan daerah sekiranya mendapati lembu atau kerbau mereka mempunyai gejala LSD supaya tindakan lanjut dapat dilakukan.
Mengulas lanjut, JPV berkata, bagi membendung masalah penyeludupan lembu dan kerbau di sempadan negara, pihaknya telah mendapat kerjasama daripada Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) untuk mengawal aktiviti tersebut.
Katanya, kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) turut dilakukan bagi meningkatkan pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand.
Sumber: Kosmo