JERANTUT – Penduduk di sekitar Kampung Bukit Rang di sini yang sedang bersiap untuk berbuka puasa gempar selepas Masjid Lama kampung berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran semalam.

Seorang penduduk Kampung Bukit Rang, Mohd Rodhi Sood,50, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 6.57 petang dia baru pulang daripada membeli juadah sebelum terdengar jirannya menjerit memaklumkan masjid terbakar.

“Saya keluar dan melihat api yang sedang marak dengan pantas namun penduduk di sini tidak mampu berbuat apa-apa kerana kebakaran berlaku pantas dalam cuaca panas.

“Mujurlah anggota bomba yang tiba bertindak pantas dan cekap mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan kediaman berdekatan,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Anuar Ahmad,45 berkata, dia baru melalui laluan berdekatan masjid selepas membeli juadah berbuka puasa dan berpatah balik apabila rakannya memberitahu masjid lama terbakar.

Katanya, kejadian itu menggemparkan penduduk yang menunggu untuk berbuka puasa kerana pertama kali melihat api marak begitu cepat sehingga memusnahkan masjid berkenaan.

“Masjid lama ini sebelum ini dijadikan pusat tahfiz, tetapi sudah tidak beroperasi lagi selepas pelajar berkenaan berpindah ke tempat baharu dan selamat.

“Kami tertanya-tertanya macam mana masjid ini boleh terbakar, mungkin kerana litar pintas atau pelbagai kemungkinan lain,”katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian kebakaran berkenaan menyebabkan 80 peratus masjid berkenaan musnah.

Katanya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu dan punca kejadian masih disiasat.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan bantuan air tangki jentera bomba dan kebakaran ini tidak melibatkan mangsa,”ujarnya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: 4 Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang, 2 Rumah Terbakar | PENAMPANG – Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah didiami musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Baru, Jalan Bundusan, 9 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.33 malam dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Lintas serta Kota Kinabalu bersama enam jentera digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan didapati seorang mangsa wanita cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi dilaporkan terkawal pada pukul 10.32 malam dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan manakala kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Ariffin Reduaan Rudi, 21, berkata, kejadian itu menyebabkan rumah yang dihuni bersama abang, sepupunya dan bapa saudaranya musnah terbakar.

“Sewaktu kejadian saya sedang bekerja dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi keluarga. Rumah dua tingkat itu didiami saya bersama abang dan sepupu serta bapa saudara masing-masing bersama keluarga.

“Semuanya musnah terbakar. Hanya tinggal baju dan seluar kerja yang sedang saya pakai,” katanya sebak.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply