Mata Pelancong Cedera Kena Botol Dilempar Cimpanzi | Seorang gadis terkejut selepas seekor cimpanzi membaling botol ke arahnya ketika dia cuba merakam video haiwan itu dengan telefonnya, lapor Metro UK.
Rakaman menunjukkan cimpanzi tersebut berada di dalam kandangnya di Zoo Nanning di China sebelum bertindak ganas dengan melompat dan membaling botol itu.
Ibu kepada gadis itu berkata, dia sedang menikmati lawatan ke zoo sebelum botol air mineral yang dibaling oleh cimpanzi itu menyebabkan kecederaan pada mata anak perempuannya.
Mata gadis yang tidak diketahui umurnya itu dikatakan hanya mengalami kecederaan kecil selepas ia mula berdarah akibat pukulan itu.
Zoo Nanning memberitahu kepada media tempatan bahawa mereka sedang menyiasat kes tersebut dan tidak boleh mengulas sebelum laporan selesai.
Insiden tersebut telah mencetuskan perdebatan yang hangat dalam kalangan peminat cimpanzi lain dengan sebahagian daripada mereka menuduh pelancong menyeksa haiwan berkenaan.
Namun begitu, ada yang menyatakan kebimbangan mereka dengan mendakwa cimpanzi tersebut boleh memberi ancaman kepada manusia dan meminta ia dikurung.
Memetik Metro UK, ia berlaku hanya beberapa minggu selepas satu lagi insiden dengan seekor cimpanzi di zoo yang sama.
Ketika seorang wanita sedang berdiri di luar pagar keselamatan, haiwan berkenaan telah melempar lumpur ke arahnya tetapi sasarannya tidak kena dan bertindak untuk menyerang pengunjung yang lain.
Menurut media tempatan, wanita yang bernama Ms Tan mengatakan bahawa cimpanzi itu seolah-olah mengikutnya di sekeliling kandang tidak kira ke mana dia pergi.
Akhirnya, dia berjaya bersembunyi di belakang dinding dan mula mengambil swafoto bersama haiwan berkenaan, namun terpaksa bersembunyi di bawah dinding kerana dia hampir dipukul.
Bagaimanapun, ia tidak jelas sama ada kedua-dua kejadian ini berpunca daripada beruk yang sama.
Sumber: Siakap Keli
Artikel Lain
NGERI. Seorang Pemburu Maut Diserang Seekor Beruang.
RUSIA – Seorang pemburu berusia 62 tahun dilapor maut akibat diserang seekor beruang yang dicederakannya, lapor Daily Mail.
Berdasarkan gambar penemuan mayat yang diperolehi, mayat pemburu tersebut telah ditemui bersama dengan bangkai binatang yang berada 50m dari badannya di daerah Tulun, wilayah Irkutsk, Siberia.
Pemburu itu dipercayai telah menembak dan mencederakan beruang tersebut dari atas sebatang pokok.
Pemburu yang menyangka beruang coklat itu telah mati selepas terkena tembakan yang dilepaskannya, telah mengambil keputusan untuk turun daripada pokok tersebut.
Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Beruang itu dikatakan masih hidup lalu menyerang pemburu tersebut dengan menggunakan taring dan kukunya sehingga mati.
“Ketika lelaki berusia 62 tahun itu turun dari pokok, beruang yang cedera parah akibat tembakannya telah menyerang dan membunuhnya,” lapor Interfax.
“Bangkai haiwan itu ditemui 50 meter dari tempat lelaki itu mati.”
Tengkorak pemburu itu dikatakan hancur dan dia didapati dipenuhi luka akibat cakaran serta taring beruang tersebut.
Pejabat wilayah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Rusia berkata, “beruang yang cedera parah itu telah menyebabkan kecederaan yang boleh membawa maut kepada pemburu itu”.
Serangan beruang bukanlah suatu perkara yang luar biasa di Rusia, terutamanya di taman negara.
Pada Jun 2021, seekor beruang coklat telah memakan dan membunuh seorang budak lelaki berusia 16 tahun di taman negara Rusia sebelum ia ditikam di leher menggunakan pisau lipat oleh seorang pelancong yang turut diserang oleh pemangsa.
Bulan berikutnya selepas serangan itu, seorang pelancong Yevgeny Starkov, 42, bersama sekumpulan rakannya yang sedang mengemas khemah telah diterkam oleh seekor beruang.
Tiga rakannya terkejut dan ketakutan sewaktu menyaksikan insiden ngeri yang mengakibatkan rakan mereka itu diterkam dan digigit oleh binatang tersebut.
Ekoran itu, mereka kemudiannya melarikan diri dan berjalan kaki selama tujuh jam tanpa kasut di Taman Alam Yergaki, di wilayah Krasnoyarsk di Siberia.
Sumber: KMN