Maut Ketika Sertai Kejohanan Badminton | JERANTUT: Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai pertandingan badminton di Dewan Badminton Jerantut Centre, semalam.
Mangsa, Mohamad Fadzil Mokhtar, 34, dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu sakit dada ketika perlawanan sedang berlangsung.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4 petang mengenai kejadian seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai perlawanan badminton.
“Maklumat yang kita peroleh, si mati tidak sempat menghabiskan perlawanan peringkat suku akhir kerana mengadu sakit dada.
“Mangsa kemudian berhenti bermain, lalu berehat di tepi gelanggang dan tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azman berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jerantut pada jam 4. 50 petang dan disahkan negatif jangkitan COVID-19 selepas saringan dilakukan.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan serangan jantung.
Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai mekanik motosikal di Felda Jengka 8 dan hadir ke dewan pertandingan pada jam 10 pagi untuk menyertai pertandingan badminton.
“Pemeriksaan fizikal ke atas si mati mendapati tiada sebarang kecederaan sama ada perbuatan khianat atau jenayah,” katanya.
Sumber: Berita Harian