Mayat lelaki warga tempatan ditemukan oleh jirannya dengan kesan lebam pada muka dan badan berdekatan sebuah rumah di Kampung Cik Zainal, Chemor, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat lelaki berumur 40 tahun itu dijumpai oleh jirannya jam 11.30 pagi dan dalam keadaan terbaring di tepi rumah jirannya itu.
Katanya, pemeriksaan awal oleh pakar forensik perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, mendapati lelaki berkenaan mungkin meninggal dunia kira-kira 12 jam sebelum ditemukan.
Beliau berkata, bagaimanapun, kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil keputusan bedah siasat yang dijadualkan hari ini.
Katanya, susulan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.
Sumber : Harian Metro
Seorang Guru Besar Meninggal Dunia Dalam Kemalangan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur berhampiran Kampung Gunung Panjang di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, Mohd Erilzuddin Affendi Mohd Amir, 45, yang menunggang skuter disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan diterima membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda Vario ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati MPV yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Kampar menuju ke Ipoh.
“Kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal yang bergerak terus hala ke Kampar,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Pemandu kenderaan dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut. Punca kemalangan masih dalam siasatan.
“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : KMN