Mayat Lelaki Kena Ikat Dan Berbungkus Plastik Dijumpai Dalam But Kereta | SHAH ALAM – Seorang lelaki dibunuh sebelum mayatnya dijumpai di dalam but kereta di Taman Sri Orkid, Seksyen 30 di sini pada Selasa.
Bau Busuk Daripada Kereta
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, penemuan mayat mangsa disedari orang awam pada jam 3.25 petang selepas terhidu bau busuk pada kereta jenis Honda City yang ditinggalkan kira-kira dua hingga tiga hari lalu.
Menurutnya, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terikat dan berbungkus plastik.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun.
“Semakan juga mendapati kereta itu didaftarkan atas nama mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
Disyaki Kes Cemburu
Susulan itu, Ramsay menegaskan, pihaknya telah memberkas tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an pada hari yang sama berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 7 petang.
“Disyaki punca pembunuhan itu berkait dengan cemburu, bagaimanapun siasatan masih dijalankan,” ujarnya.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Mayat Lelaki Ditemui Terdampar Dalam Parit
Mayat Lelaki Ditemui Terdampar Dalam Parit | Mayat seorang lelaki ditemui di kawasan parit berhampiran Dewan Persatuan Penduduk Teluk Bunut, Banting di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.59 pagi.
Mayat Terdampar Dalam Parit
“Setibanya di lokasi, mayat seorang lelaki ditemui terdampar di dalam parit berkedalaman hampir satu meter tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 40-an dan identiti sebenar belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, mayat itu kemudian berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Baca Juga Artikel Menarik Ini :
Lelaki Cuba Selamatkan Kawan Dari Tergelincir Bertukar Tragedi Apabila Ditemui Lemas | Kulim: Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan rakannya yang tergelincir ketika sedang mandi di pusat peranginan Sungai Sedim, Sungai Kob berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa dikatakan sedang mandi bersama tiga rakannya di air terjun berkenaan.
Beliau berkata, kaunter aduan Balai Polis Sungai Kob menerima panggilan pada 2.20 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui lemas.
Katanya, hasil temubual rakan mangsa memaklumkan, mangsa bersama tiga rakannya pergi ke Pusat Rekreasi Lata Sungai Sedim Sungai Kob itu pada 2 tengah hari untuk mandi.
Arus Sangat Deras
“Sebaik tiba didapati ramai orang mandi di kawasan itu menyebabkan mereka pergi mandi di kawasan sungai Lubuk Buluh Lata Sedim yang mempunyai arus sangat deras.
“Ketika mandi, salah seorang rakan tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya tetapi mangsa dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Redzuan berkata, orang ramai di situ turut membantu dalam mencari dan menyelamatkan mangsa.
Tenggelam Ke Dasar Sungai
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemui tenggelam ke dasar sungai, namun selepas dinaikkan didapati sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian dapati tiada sebarang kecederaan dan tiada sebarang unsur-unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 24 tahun ditemukan lemas ketika sedang mandi di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong, di sini hari ini.
Mohd Redzuan berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan MERS 999 pada 2.43 petang memaklumkan rakannya mati lemas.
Beliau berkata, hasil temubual saksi memaklumkan mangsa tiba di pusat peranginan pada 2.10 petang.
“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian dapati tiada sebarang kecederaan dan unsur jenayah.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.
Sumber: KMN