Mesir: Lebih Daripada 500 Orang Disengat Kala Jengking Akibat Ribut | Sekurang-kurangnya dilaporkan lebih 500 orang telah dimasukkan ke hospital akibat sengatan kala jengking di selatan Mesir selepas ribut melanda negara terbabit sehingga memaksa makhluk itu keluar dari tempat persembunyian mereka dan masuk ke dalam rumah, lapor media kerajaan.
Menurut Gabenor Ashraf Attia menerusi The Guardian, wilayah Aswan dikhabarkan pada minggu lalu telah dilanda hujan lebat, hujan batu dan guruh yang jarang berlaku sehingga menyebabkan tiga orang terkorban. Bagaimanapun, mereka yang disengat kala jengking telah diberikan dos anti-racun dan kemudian dibenarkan pulang.
Walaubagaimanapun,pemangku Menteri Kesihatan, Khalid Abdel-Ghafar mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa tiada kematian dilaporkan akibat sengatan kala jengking.
Gambar dan rakaman video yang tersebar di media sosial telah menunjukkan beberapa jalan telah dinaiki air sehingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan dan ladang pertanian. Turut dilaporkan persekolahan turut digantung akibat gangguan elektrik di seluruh wilayah.
Trafik Marin di Sungai Nil serta jalan raya juga dikhabarkan masih ditutup akibat ribut melanda pada hari Jumaat lalu sebelum disambung semula pada hari Sabtu.
Menurut Setiausaha Kementerian Kesihatan di Aswa, Al-Ahram Ehab Hanafy menerusi The Guardian, para doktor dan pasukan penyelamat telah dipanggil semula daripada cuti tahunan dan dilaporkan hospital turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Kementerian Kesihatan kini meyakinkan orang ramai bahawa ia mempunyai dos anti-racun yang mencukupi, dengan lebih daripada 3,000 tersedia di Aswan. Dos tambahan dihantar berhampiran kawasan gunung dan padang pasir, kata Hanafy.
Mangsa yang disengat kala jengking berkata, simptom mereka termasuk sakit teruk, demam, berpeluh, muntah, cirit-birit, gegaran otot, dan kepala berkedut.
Pergunungan Aswan adalah rumah kepada kala jengking yang mempunyai ekor yang gemuk, atau Androctonus crassicauda, yang diterjemahkan dari bahasa Yunani sebagai “pembunuh manusia”. Mereka dianggap antara kala jengking yang paling berbahaya di dunia, dengan racun yang sangat toksik tetapi hanya menyebabkan beberapa kematian manusia dalam setahun.
Sumber: The Guardian