Lionel Messi meninggalkan pentas Piala Dunia buat kali terakhir dengan cara paling dramatik awal pagi tadi, mengetuai senarai panjang pemain ternama yang mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan terbesar bola sepak itu.

Messi Julang Piala Dunia Sebelum Ucap 'Selamat Tinggal'

Messi memukau di Doha ketika Argentina menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Lusail selepas salah satu final terhebat dalam sejarah berakhir 3-3, dengan penyerang itu meledak dua gol.

Pemain berusia 35 tahun itu meraih anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan Piala Dunia, tetapi kurang satu gol di belakang Kylian Mbappe dalam perebutan Kasut Emas.

Ia cerita yang sama sekali berbeza di Qatar buat Cristiano Ronaldo, yang mendominasi bola sepak dalam satu generasi seiring Messi.

Ujarnya dalam satu hantaran di Instagram, dalam lima Piala Dunia saya bermain, sering kali di samping pemain hebat dan disokong berjuta-juta rakyat Portugal, saya memberikan segala-galanya.

Neymar juga kecewa selepas penyingkiran Brazil pada suku akhir di tangan Croatia, berkata dia “hancur luluh secara psikologi” dan membayangkan dia mungkin beraksi perlawanan terakhir buat negaranya.

Penyerang berusia 30 tahun itu terlepas dua perlawanan di Qatar kerana kecederaan namun kembali untuk menyamai rekod jaringan Pele dengan 77 gol bersama Selecao.

Selain tiga pemain itu, beberapa kuda tua turut berasakan Qatar sebagai medan terakhir mereka bagi Piala Dunia.

Antaranya Luka Modric dari Croatia (37 tahun), Robert Lewandowski dari Poland (34), Luis Suarez dari Uruguay (35), pemain Jerman, Thomas Mueller (33), bintang Belgium, Eden Hazard (31), Gareth Bale dari Wales (33) dan pemenang Ballon d’Or dari Perancis yang tidak berpeluang untuk beraksi Karim Benzema (34).

Sumber: Berita Harian

Piala Dunia: Qatar Penuhi Janji Peminat, Anjur Piala Dunia ‘Luar Biasa’. 

Pemerintah Qatar menganggap negara Teluk itu memenuhi janjinya untuk menganjurkan Piala Dunia yang “luar biasa.”

Piala Dunia: Qatar Penuhi Janji Peminat, Anjur Piala Dunia 'Luar Biasa'. 

Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, yang menghadiahkan kapten Argentina, Lionel Messi jubah tradisional Arab selepas pasukannya memenangi trofi itu, memberi penghormatan kepada finalis dan peminat dalam satu kenyataan di Twitter selepas perlawanan.

Kata Emir terbabit, kami berjaya memenuhi janji kami untuk menganjurkan kejohanan luar biasa oleh negara Arab, yang memberi peluang kepada rakyat dunia untuk belajar mengenai kekayaan budaya dan keaslian nilai kami.

Qatar membelanjakan lebih AS$200 bilion (RM884 bilion) untuk membina stadium dan infrastruktur baharu bagi Piala Dunia pertama di bumi Arab, yang mana Presiden FIFA Gianni Infantino menyifatkannya sebagai “kejohanan terbaik pernah dianjurkan.”

Namun negara Teluk itu berdepan kritikan teruk terhadap rekod hak asasi manusia serta layanannya terhadap buruh asing.

Pemimpin Qatar berkata, kecaman itu satu cubaan untuk mencetus keraguan mengenai hak dunia Arab menganjurkan kejohanan sebesar itu.

Messi jelas dilihat menyarung jubah tradisional ‘bisht’ yang dihadiahkan emir kepada ikon Argentina itu sebelum menjulang trofi Piala Dunia.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply