MH17: Suspek Baharu Mungkin Dinamakan | Penyiasat antarabangsa yang melakukan siasatan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, bersedia membentangkan penemuan baharu, pada Rabu, termasuk kemungkinan menamakan suspek tambahan.
Pada November, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas pembunuhan kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu Rusia yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu sehingga membunuh 298 penumpang dan anak kapal.
Ketiga-tiga lelaki itu yang dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran), masih bebas.
Penyiasat terus mengumpulkan bukti mengenai kemusnahan pesawat itu, dan boleh mengenal pasti sama ada anak kapal yang mengendalikan sistem peluru berpandu atau pegawai tinggi tentera atau politik Rusia yang meluluskan pemindahannya untuk masuk dan keluar dari Ukraine.
Terpulang kepada pasukan pendakwaan yang berasingan untuk cuba mengemukakan pertuduhan.
Rusia menafikan sebarang pembabitan dan tanggungjawab atas kemusnahan MH17.
MH17 ditembak jatuh ketika terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, membunuh semua penumpang termasuk 196 warga Belanda.
Susulan kemusnahan pesawat itu, Belanda, Australia, Belgium, Ukraine dan Malaysia menubuhkan pasukan penyiasat bersama untuk mengumpulkan bukti bagi pendakwaan jenayah.
Pasukan itu menjadualkan sidang akhbar pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan).
Keluarga mangsa akan dimaklumkan mengenai penemuan itu sejurus sebelum sidang akhbar.
Pada masa pesawat itu ditembak jatuh, tentera Ukraine bertempur dengan pemisah pro-Rusia di timur wilayah Donetsk, Ukraine.
Walaupun Rusia menguasai Crimea pada Mac 2014, ia menafikan pembabitan tentera dalam pertempuran di Donetsk pada masa itu.
Tetapi sebagai sebahagian daripada sabitan terhadap tiga lelaki itu pada November, mahkamah Belanda memutuskan Rusia sebenarnya mempunyai ‘kawalan keseluruhan’ terhadap pasukan pemisah di Donetsk bermula dari Mei 2014.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Sebuah Keluarga Terkorban Dalam Tragedi MH17. Inilah Saham Akhirat Untuk Mereka… Allahu.
Sebuah Keluarga Terkorban Dalam Tragedi MH17. Inilah Saham Akhirat Untuk Mereka… Allahu. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS – SEBUAH surau yang sedang dalam pembinaan di Jalan Depo, Petra Jaya menyimpan sejarah sebuah keluarga yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 pada 2014 lalu.
Menurut sumber, surau hampir siap dibina itu dan diberi nama Al-Ghazali berkenaan dibangunkan dengan wang pampasan diterima keluarga terbabit.
Menurutnya, pembinaan peringkat awal Surau Al-Ghazali merangkumi ruang solat utama, ruang solat wanita, tandas, tempat wuduk, pejabat dan tempat meletak kenderaan.
Katanya, surau yang dibina dengan kos kira-kira RM3.5 juta itu mampu menampung 450 jemaah pada satu-satu masa.
“Ahli keluarga yang terdekat sebulat suara mewakafkan wang pampasan semua mangsa agar dapat menjadi dana akhirat mereka. Semoga Allah merahmati kesemua arwah,” katanya.
Sekeluarga yang maut dalam nahas MH17 itu adalah Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, serta empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.
Ketika nahas, mereka yang berasal dari Kuching dalam penerbangan pulang ke Malaysia selepas Tambi menamatkan perkhidmatan selama tiga tahun dengan syarikat Shell di Kazakhstan.
Pesawat MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh ketika melalui ruang udara sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014 sekali gus mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Sumber : Mymetro
6 Terkorban Akibat Pesawat Pejuang Rusia Terhempas
Sekurang-kurang enam orang maut, manakala 19 lagi cedera selepas pesawat pejuang tentera Russia terhempas pada sebuah bangunan pangsapuri di sini, lapor agensi berita Tass.
Menurut agensi berita yang memetik pegawai tempatan, dalam kejadian tersebut, enam orang dilaporkan hilang,
Saluran berita tentera Zvezda menyiarkan video menunjukkan letupan pesawat pejuang pengebom jarak sederhana supersonik Sukhoi Su-34 ketika pesawat tersebut menjunam ke arah pangsapuri.
Menteri Kecemasan Persekutuan, Alexander Kurenkov memaklumkan bahawa enam orang terkorban, manakala enam lagi hilang seperti dilaporkan oleh Tass.
Katanya, Presiden Russia, Vladimir Putin segera mengarahkan beliau bergegas ke lokasi nahas selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu.
Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar pangsapuri sembilan tingkat itu terbakar kerana nahas terbabit dan pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran sudah dipadamkan.
Gabenor Wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratyev menafikan tentang laporan tempatan yang mendakwa pesawat itu membawa muatan berisi peluru.
“Jika ia berlaku, hanya separuh bangunan mungkin berada di sini,” katanya kepada pemberita lapor RIA.
Kira-kira 250 penghuni dipindahkan termasuk 40 kanak-kanak, kata pihak berkuasa.
Dalam pada itu, RIA memaklumkan bahawa nahas berlaku ketika pesawat dalam penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera.
Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa juruterbang terlebih dulu memaklumkan mengenai enjin pesawat yang terbakar ketika beliau memulakan penerbangan dan mencetuskan kebakaran apabila merempuh bangunan tersebut.
Jawatankuasa Penyiasat Russia yang menangani jenayah serius mengatakan bahawa pihaknya akan membuka kertas siasatan dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Kremlin menyatakan Putin sudah dimaklumkan mengenai nahas itu dan beliau sudah mengarahkan segala bantuan diberikan kepada mangsa.