Misteri bau busuk dari sebuah rumah yang berkunci di Jalan Meranti, Tambang Badak di sini, membongkar penemuan mayat lelaki yang dipercayai sudah empat hari meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir telah memberi kenyataan berhubung kejadian ini.
Katanya, Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, menerima makluman seorang lelaki meninggal dunia dalam rumah berkenaan.
Berdasarkan keterangan abang lelaki berkenaan, dia terhidu bau busuk di depan rumah adiknya yang berusia 56 tahun itu ketika pulang dari kerja jam 7 pagi tadi.
Saksi cuba menghubungi adiknya beberapa kali tetapi tiada jawapan sebelum meminta bantuan jirannya untuk menghubungi talian kecemasan 999.
Sebaik pintu dibuka dengan bantuan pihak bomba, didapati mayat ditemukan dalam keadaan terlentang dan sudah berbau.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat sudah mereput dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah rumah atau unsur jenayah.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan maklumat abang lelaki itu, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu kira-kira empat hari lalu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.33 pagi.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Pasukan itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Iskandar Ishak.
Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki terbaring di dalam rumah yang berkunci.
Tindakan anggota bomba adalah dengan membuka pintu rumah menggunakan peralatan sebelum menemukan mayat di ruang tamu.
Sumber: Harian Metro