Myanmar: Tentera Dituduh Lakukan Jenayah Perang, Halang Bantuan Kepada Orang Awam | Satu kumpulan hak asasi manusia telah mendakwa bahawa berkemungkinan tentera Myanmar telah melakukan jenayah perang di negeri Karenni timur selepas mereka dikatakan menangkap pekerja kemanusiaan dan memusnahkan bantuan stok makanan, baru-baru ini.

Myanmar: Tentera Dituduh Lakukan Jenayah Perang, Halang Bantuan Kepada Orang Awam

Bantuan yang sepatutnya diberikan kepada orang awam akibat konflik itu tidak ‘sampai’ kepada tangan yang sepatutnya disebabkan tentera Myanmar telah menahan sekurang-kurangnya 14 pekerja bantuan di negeri Karenni, juga dikenali sebagai Kayah, sejak berlakunya rampasan kuasa pada 1 Februari yang lalu.

Menurut Fortify Rights menerusi laporan Aljazeera, maklumat yang mereka peroleh menerusi temubual bersama 20 individu termasuk orang awam yang kehilangan tempat tinggal, pekerja kemanusiaan dan anggota kumpulan bersenjata, pihak tentera  juga telah melakukan serangan pembakaran, merompak harta awam dan memusnahkan makanan, ubat-ubatan dan bekalan bantuan lain.

Junta Myanmar kini dilihat menimbulkan pelbagai ancaman kepada keamanan dan keselamatan serantau justeru PBB dan negara anggota ASEAN harus segera menyokong bantuan kecemasan rentas sempadan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal dan memastikan akauntabiliti terhadap jenayah kejam junta, menurut jurucakap Fortify Rights.

Penyekatan bantuan yang dikatakan tersebut berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit di negeri Karenni iaitu antara tentera dan kumpulan bersenjata, termasuk kumpulan militan yang diasaskan oleh orang awam selepas rampasan kuasa, dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Rakyat.

Pertempuran yang berterusan ini telah menyebabkan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal di negeri timur manakala junta Myanmar juga tidak memudahkan bantuan menyelamatkan nyawa kepada mangsa konflik, malah mengambil “langkah konkrit” untuk menafikan akses orang awam kepadanya, menurut Fortify Rights lagi.

Sebelumnya, dalam kejadian lain pada bulan Jun, askar turut memusnahkan dan membakar simpanan stok beras yang disimpan di sebuah sekolah di kampung Loi Yin Taung Chae di sempadan antara negeri Karenni dan Shan.

Menurut Fortify Rights, pekerja bantuan telah menggunakan stok beras untuk memberi makan kepada kira-kira 3,000 orang yang berpindah.

Selain itu, kumpulan hak asasi manusia berkata, pihak tentera telah menangguhkan kebenaran perjalanan untuk pekerja bantuan antarabangsa selain membuat sekatan jalan raya bagi memberhentikan kenderaan di pusat pemeriksaan dan merampas semua bekalan bantuan.

Sumber: Aljazeera

Share.

Leave A Reply