Najib Dakwa Hakim Yang Jatuhkan Hukuman Terhadapnya Perlu Tarik Diri. | KUALA LUMPUR: Peguam Najib Razak mengumumkan mereka akan memfailkan permohonan kebenaran untuk mengemukakan keterangan baharu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menunjukkan hakim yang menyabitkan Najib bersalah dalam perbicaraan terdahulu ada kaitan dengan kes itu.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya mendedahkan konflik kepentingan yang ketara itu dan menarik diri.
Beliau memberitahu wartawan pada akhir pendengaran hari ini bahawa satu pendedahan mengejutkan dibuat dalam prosiding hari ini berhubung pembabitan Nazlan yang akan menjadikan hakim itu saksi berpotensi dalam kes berkenaan.
Minit mesyuarat lembaga pengarah Maybank pada 2012 dikemukakan sebagai keterangan hari ini ketika pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.
Minit mesyuarat itu menyenaraikan Nazlan turut menghadiri mesyuarat itu, sebegai peguam am dan setiausaha syarikat ketika itu. Shafee berkata, Nazlan memegang jawatan itu antara 2005 dan 2015.
Shafee berkata, mesyuarat itu membincangkan pinjaman RM6.17 bilion daripada Maybank untuk membiayai sebahagian kos pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB. Katanya, SRC International adalah anak syarikat 1MDB ketika itu.
“Oleh itu, timbul kebimbangan mengenai potensi konflik kepentingan yang sepatutnya didedahkan Hakim Nazlan dalam kes SRC,” dakwa Shafee.
“Sekali pun pihak pendakwaan tidak memanggil beliau, kami akan memanggilnya. Dia melalui semua proses (pinjaman) dan mempunyai pandangan tertentu apabila (1MDB) gagal membayar.”
Ketika ini, Najib dibicarakan atas tuduhan rasuah berkaitan dana RM2.28 bilion milik 1MDB. Pihak pendakwaan berhujah jejak wang berbelit dalam kes itu membabitkan pengambilalihan Tanjong Energy.
Nazlan, yang dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini, menjatuhkan hukuman ke atas Najib atas tuduhan berkaitan dana SRC International pada 28 Julai 2020. Beliau masih menunggu rayuan terhadap sabitan itu di Mahkamah Persekutuan.
Sumber: FMT