Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah tekanan darah, masih lagi menerima rawatan dan menjalani beberapa ujian kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

'Najib Tidak Ceria Berada Dalam Wad 21 HKL'- Ujar Peguam

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, tekanan darah Najib sudah turun tetapi belum berada pada tahap memuaskan, walaupun selepas diberikan ubat bagi penyakit darah tinggi yang asal.

Menurut Muhammad Shafee, Najib diberikan sijil cuti sakit selama dua hari sehingga esok.

Katanya, beliau dapat menemui anak guamnya hari ini yang ditempatkan di Wad 21 HKL dan mereka berbincang mengenai masalah kesihatan bekas Perdana Menteri itu, mengenai perjalanan kes dan langkah seterusnya yang akan diambil.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding, Muhammad Shafee berkata, setakat hari ini tiada sebarang petunjuk Najib akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, beliau tidak kelihatan seperti biasa, tidak seceria seperti sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata demikian ketika memberikan status terkini Najib kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad yang dihadapi anak guamnya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung pada 26 September ini.

Share.

Leave A Reply