Najis Babi Cemar Laut Dan Sungai | Sungai dan laut dibimbangi tercemar disebabkan oleh tindakan seorang penternak babi yang tidak bertanggungjawab di Pantai Acheh. Pengusaha ternakan babi itu dipercayai telah membuang sisa najis haiwan itu ke dalam sungai dan laut berhampiran.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, sisa najis babi dari Sungai Sembilang yang mengalir terus ke laut menimbulkan bau terlalu busuk terutama pada waktu malam sehingga mengganggu aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan di perairan itu.
CAP percaya sekiranya masalah itu dibiarkan berterusan, ia boleh menjejaskan alam sekitar, hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan dengan lebih serius pada masa akan datang. Ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama sejak turun-temurun sudah berkurangan dan hasil pendapatan nelayan merosot sebanyak 50 peratus sejak beberapa tahun lalu.
Dalam tinjauan CAP di Kuala Sungai Pinang pula, nelayan mendakwa mereka turut berdepan dengan masalah pembuangan sisa dari kolam ternakan udang berhampiran. kedua-dua tindakan itu boleh menyebabkan air sungai dan laut tercemar sehingga menjejaskan pembiakan hidupan marin serta menjejaskan sumber pendapatan kira-kira 300 nelayan pantai.
Ratusan ekar kawasan hutan paya bakau dari Kuala Jalan Baru hingga Pantai Acheh telah dimusnahkan. kemusnahan itu adalah dilakukan untuk dijadikan kolam ternakan udang. Dari tindakan itu juga, ia turut mengancam hidupan laut di laut berkenaan.
CAP sudah beberapa kali mengemukakan masalah berkenaan kepada pihak berwajib kerana bimbang kesan buruk yang bakal berlaku. CAP turut berharap pihak berkaitan memberi perhatian serius kerana kesannya boleh menggugat sektor perikanan dan ekonomi negara.
Sumber: Harian Metro