Nak Isteri Rasa Sakit Bersalin Normal, Suami Tak Maafkan Kalau Isteri Bersalin Secara ‘Water Birth’ | Umum mengetahui bahawa melahirkan seorang anak merupakan satu pencapaian yang luar biasa yang dilakukan oleh tubuh badan manusia. Sesiapa sahaja yang pernah melahirkan anak pasti tahu betapa sukarnya untuk menghadapi situasi tersebut.
Sudah tentu, kuasa memilih adalah terpulang kepada ibu sendiri untuk memutuskan jenis bersalin yang diingini berdasarkan keutamaan peribadi dan nasihat daripada bidan. Antara jenisnya sama ada bersalin normal, pembedahan ataupun kaedah bersalin melalui air.
Walau bagaimanapun, berbeza pula dengan situasi ini apabila seorang suami memberitahu isterinya bahawa dia tidak akan memaafkannya jika bersalin melalui kaedah air atau dikenali sebagai water birth.
Suaminya mempercayai bahawa kesakitan bersalin secara normal itu dapat menguatkan lagi ikatan antara ibu dan anaknya.
Walaupun wanita itu tidak hamil lagi, mereka masih sedang berusaha dan berharap untuk hamil dalam masa yang terdekat.
Menurut Mumsnet, wanita itu berkata sebelum ini dia pernah memberitahu suaminya bahawa dia suka dengan kaedah bersalin melalui air, tetapi mendapat tentangan. Suaminya juga berkata bahawa bersalin secara normal telah dilakukan sejak beribu-ribu tahun lagi dan mempersoalkan kenapa ingin menggunakan cara yang berbeza.
Jelasnya lagi, dia juga telah berbincang semula dengan suaminya setelah membuat beberapa bacaan dan kajian mengenai kaedah itu tetapi, suaminya masih bertegas dengan keputusannya. Dia juga mengatakan bahawa kesakitan yang dialami jika bersalin secara normal akan menguatkan lagi ikatan antara ibu dan anak.
Tambahnya, pendebatan itu telah membawa kepada pertengkaran di antara mereka dan menyifatkan suaminya seperti berdebat dengan kanak-kanak kerana tidak mahu mendengar pandangan dan perasaannya.
Memetik daripada The Mirror, suaminya berkata dia lebih rela mengupah ibu tumpang (surrogate mother) untuk melahirkan anaknya secara normal berbanding bersalin melalui kaedah air. Suaminya juga tidak akan memaafkannya jika dia masih ingin bersalin melalui kaedah itu.
Kebanyakan warganet membantah dan mempersoalkan perkara ini sama ada keputusannya ingin mempunyai anak dengan lelaki itu benar.
Sumber : SK