Netizen Terkejut Lihat Tikus Berkeliaran Dalam Wad, Hospital Ambil Tindakan Serta Merta | Seremban: Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban mengambil tindakan serta-merta susulan penularan satu video di laman sosial yang memaparkan seekor tikus berkeliaran dipercayai di wad kanak-kanak di hospital berkenaan.
Menerusi video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok itu, individu yang merakam kehadiran tikus itu mendakwa sudah membuat aduan kepada jururawat mengenai kehadiran makhluk perosak itu namun tidak diendahkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, beberapa langkah diambil bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.
“JKNNS ingin merujuk kepada satu rakaman yang tular di media sosial menunjukkan seekor tikus berkeliaran di Wad 3B, HTJ. Pihak kami HTJ sudah menjalankan siasatan dengan serta-merta berhubung insiden ini.
“Susulan itu, beberapa langkah penambahbaikan diambil bagi mencegah insiden sama daripada berulang dengan menambah kekerapan dalam jadual pembersihan dan kutipan sampah disamping menitikberatkan penjagaan kebersihan di sekitar hospital khususnya di semua wad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak konsesi penyelenggaraan hospital juga diarahkan untuk mengenalpasti lokasi yang kerap didatangi tikus dan kuantiti pemasangan perangkap juga dipertingkatkan bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Ini termasuk penjadualan kawalan makhluk perosak melalui frekuensi yang ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian.
“Unit Entomologi dan Pest juga dilibatkan dalam menjalankan siasatan dan memberi khidmat nasihat teknikal bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan serta kawalan makhluk perosak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Justeru beliau berkata, pihak JKNNS amat menghargai maklum balas yang diberikan dan dari semasa ke semasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan orang awam yang mendapat rawatan di hospital terjamin.
Sumber: Harian Metro