Niat Nak Pinjam RM10,000, Tapi Duit Sendiri Lesap RM10,107 | Kejadian tipu-menipu berkaitan pinjaman wang  seringkali kita dengar di media sosial dan tidak dapat dinafikan ramai yang menjadi mangsa terhadap salah laku yang melibatkan pinjaman wang melalui dalam talian ini.

Niat Nak Pinjam RM10,000, Tapi Duit Sendiri Lesap RM10,107

Johor Bahru: Baru-baru ini niat seorang gadis yang ingin meminjam wang sebanyak RM10,000 untuk membantu datuknya yang sedang sakit serta kegunaan untuk perkahwinannya lebur begitu sahaja apabila dia ditipu oleh sebuah syarikat pemberi pinjaman wang dalam talian.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ira da merupakan seorang pengasuh berkata, taktik pemberian pinjaman wang secara dalam talian itu sangat licik dengan memintanya membuat pembayaran tambahan, deposit, yuran dan tawaran sehingga dia mengalami kerugian sebanyak RM10,107.

Ira dikatakan telah memohon pinjaman sebanyak RM10,000 selepas melihat iklan dalam sebuah laman web yang menawarkan pinjaman secara dalam talian pada 13 April lalu. Dalam pada itu, dia diminta untuk mengisi maklumat dan jumlah yang ingin dipinjam sebelum seorang lelaki menghubunginya dan meminta RM600 untuk proses pinjaman.

“Selepas itu, seorang lelaki lain dari syarikat sama menghubungi saya untuk minta pembayaran pendahuluan untuk enam bulan sebanyak RM1,962,” katanya pada sidang media di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, setelah dia membuat bayaran wang pendahuluan itu, seorang lelaki telah menghubunginya dan memberitahu permohonannya tidak layak kerana kadar kredit yang rendah.

Katanya, lelaki berkenaan turut menawarkan bantuan, tetapi dia perlu membayar lagi wang untuk menaikkan kadar kredit itu supaya permohonannya boleh diluluskan.

Kemudiannya, pengurus syarikat itu pula menghubunginya dan meminta wang sebanyak RM20,000 sekaligus meminta bayaran sebanyak RM2,000 untuk surat perjanjian peguam.

“Saya minta mereka membatalkan pinjaman itu, tetapi saya diarah membayar denda dan pengurus itu turut ugut saya.

“Saya sudah membuat pembayaran lapan transaksi dalam talian dalam tempoh 13 hingga 17 April lalu, membabitkan kerugian RM10,107 yang diperoleh dengan meminjam daripada majikannya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung memberitahu, Ira telah ditipu oleh sindiket penipuan yang mencari mangsa melalui pinjaman dalam talian.

“Saya menerima banyak aduan mengenai kes penipuan seperti ini. Pihak polis dan kerajaan juga diharap mengambil tindakan segera membendung kegiatan ini, syarikat itu masih aktif dalam talian,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply