Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menjadi penamat era kegemilangan Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai pelumba basikal trek negara.

Olimpik Paris 2024, Penamat Karier 'The Pocket Rocketman'

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pemenang pingat perak dan gangsa acara keirin pada dua edisi terakhir Sukan Olimpik itu merancang untuk bersara selepas beraksi di Paris nanti.

Olimpik Paris 2024 bakal menjadi penampilan kelimanya di pentas temasya sukan berprestij itu.

Malah, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun ini juga merupakan penampilan terakhir beliau.

“Justeru, saya ingin berikan sepenuh perhatian untuk memastikan saya dapat beraksi dengan cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita,” katanya.

Bekas juara dunia itu berkata dalam klip video ucapannya selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis ASN 2019/2020 yang berlangsung di sini, semalam.

Beliau yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ turut memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke majlis itu.

Disebabkan jadual latihannya di Melbourne, Australia menghalang beliau untuk menghadiri majlis gilang gemilang itu.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, dia sedang giat menjalani latihan persiapan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Tambahnya lagi, Sukan Komanwel hanya berbaki 128 hari manakala Sukan Asia hanya berbaki 170 hari lagi.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Birmingham, United Kingdom bermula Julai ini dan Sukan Asia di Hangzhou, China dijadual pada September.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni menzahirkan terima kasih kepada semua pihak atas kejayaan dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan 2019/2020.

Antaranya Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia serta Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Ia merupakan kali keempat beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas turut dinobatkan pemenang pada 2009, 2010 dan 2017.

Sebagai rekod, pada Ogos tahun lepas Mohd Azizulhasni memberi bayangan mungkin akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply