Datuk Azizulhasni Kongsi Rahsia Kekal ‘Tenang’ Di Olimpik Yang Buat Ramai Orang RESPEK | Khalifah Media Network – Sebut sahaja Datuk Azizulhasni pasti semua orang mengenali beliau yang merupakan jaguh pleumba basikal trek negara. Baru-baru ini juga, beliau telah membawa pulang pingat perak dari Olimpik Tokyo, Jepun buat negara Malaysia.

Datuk Azizulhasni Kongsi Rahsia Kekal 'Tenang' Di Olimpik Yang Buat Ramai Orang RESPEK

Disetiap kejayaan seseorang itu juga, pasti terselit suatu rahsia atau amalan yang dilakukan sehingga menjadikan beliau berjaya hingga sekarang. Tahukah anda, kunci rahsia beliau adalah Al-Quran? Ya, Datuk Azizul berkongsi bahawa salah satu amalan yang cukup dijaga secara istiqamah (konsisten) selama ini adalah membaca kitab suci Al-Quran.

Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini. Semoga menjadi panduan dan pedoman buat kita semua.

Al Kisah Tenang..

Pergi ke sesebuah kejohanan dengan suatu tekanan yang besar bukan satu urusan yang mudah, apatah lagi apabila bertanding di temasya yang terbesar di dunia. Bagi mereka yang pernah berkecimpung dalam arena sukan mereka akan faham benar. Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ianya umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.

Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapai situasi-situasi yang extreme ini? Jawapan saya adalah Al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya dah mulakan misi membaca Al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan. Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu tu ditambah dengan kesibukkan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan. Tetapi selepas tamat saja kem latihan dan terbang ke Tokyo ianya memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan.

Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan. Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian. Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan. Bila kita baca Al-Quran ni tak mudah, banyak dugaan-dugaan dia. Ada saja bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita. Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.

Katanya lagi…

Waktu saya baca Al-Quran tu, seolah-olah saya berada di dunia vakum (vacuum). Bukan vakum yang korang sedut debu-debu karpet dekat rumah korang tu, tetapi dunia vakum yang dikenali sebagai hampagas dalam hukum fizik. Jauh pulak saya menyimpang, maaf. Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza. Saya dapat lupakan seketika kepenatan dari latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah-masalah duniawi yang tersumbat di kepala.

Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari saja lagi. Tapi sumpah tak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ni membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora. Syukur, kepada Allah SWT saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara Keirin. Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya.

Salam Jumaat dari saya.

Sumber : Azizulhasni Awang

Share.

Leave A Reply