Padah Langgar SOP Di Restoran 45 Individu Dikompaun

| April 25, 2021 | 0 Comments

Padah Langgar SOP Di Restoran 45 Individu Dikompaun | Seramai 45 individu dikompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah restoran di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, malam tadi.

Padah Langgar SOP Di Restoran 45 Individu Dikompaun

Kuantan: Serbuan yang dilakukan pada pukul 11.55 malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Mohamad Noor berkata, hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati sebahagian besar daripada pelanggan di restoran berkenaan gagal untuk mematuhi SOP PKPP iaitu tiada penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan.

Beliau berkata, terdapat dua pelanggan telah dikesan kerana gagal untuk mengimbas kod aplikasi MySejahtera termasuk seorang daripadanya cuba menipu dengan menunjukkan sudah mengimbas di restoran itu, tetapi malangnya bertarikh 21 April lalu.

“Ada pelanggan masih tidak faham dan kononnya mendakwa tidak tahu SOP yang membabitkan jarak satu meter.

“Kompaun dikeluarkan ini kerana keadaan sangat rapat dan kami tidak boleh berkompromi dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, 45 individu yang telah dikompaun itu membabitkan 38 lelaki dan tujuh wanita.

Mohamad Noor berkata, semua individu yang terbabit dikenakan kompaun mengikut kesalahan kategori ketiga Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan tiada penjarakan fizikal dengan nilai kompaun antara RM1,500 hingga RM 2,000 untuk setiap individu.

Jelasnya lagi, kompaun turut dikenakan kepada pemilik premis atas kesalahan yang sama dengan jumlah kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal untuk memastikan pelanggan di restoran mematuhi SOP walaupun memberi alasan sudah menasihati pelanggan.

Menurut Mohamad Noor, sekiranya pelanggan ingkar dengan SOP yang ditetapkan, pemilik restoran sepatutnya menghubungi pihak berkuasa sama ada polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam kes ini, saya kesal dengan sikap peniaga dan pelanggan yang tidak peduli dan tidak mahu mematuhi SOP.

“Oleh itu, polis akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa dan tiada kompromi jika ada yang melakukan kesalahan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *