Solat Ghaib Untuk Para Anak Kapal KRI Nanggala 402 | Semalam kerajaan Indonesia telah mengesahkan bahawa kesemua 53 anak kapal KRI Nanggala 402 telah terkorban. Oleh itu, digalakkan buat semua rakyat serta umat islam yang lain untuk melakukan solat sunat ghaib untuk semua anak kapal yang telah terkorban.
Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta supaya umat islam mengadakan solat ghaib secara sendirian atau secara berjemaah untuk anak kapal selam negara itu, KRI Nanggala 402, yang telah disahkan terkorban.
Wakil ketua MUI, Anwar Abbas, berkata tragedi yang menimpa kapal selam itu bukan sahaja berita yang mendukakan ahli keluarga tapi seluruh rakyat Indonesia.
“Mari melaksanakan solat ghaib supaya semua dosa mereka diampuni dan pengabdian serta pengorbanan yang diberikan kepada bangsa dan negaranya menjadi ibadah serta mendapat ganjaran pahala yang sebesar-besarnya dari-Nya,” katanya.
Anwar turut memetik satu hadis iaitu seseorang itu mati syahid apabila ia meninggal disebabkan tenggelam.
Katanya, jika mereka meninggal dalam keadaan seperti ini, maka jelaslah bahawa mereka pergi menghadap tuhan dengan keadaan terhormat.
KRI Nanggala 402 ditemui pecah di dasar laut di Perairan Bali, semalam dengan semua 53 anak kapal disahkan meninggal dunia.
Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono, mengesahkan serpihan kapal selam yang hilang Rabu lalu ditemui pecah kepada tiga bahagian.
Ketua Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, mengesahkan kepada wartawan bahawa kesemua anak kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia.
Sumber: Berita Harian