Pasangan Ber’joli’ Sakan Selepas Pecah Masuk Pejabat | Seorang lelaki sempat bercuti bersama teman wanita di taman tema di Johor Bahru selepas melakukan kegiatan pecah pejabat di Kajang membabitkan kerugian lebih RM40,000.

Bercuti bersama teman wanita selepas pecah pejabat larikan RM40,000

Bagaimanapun, selepas polis menahannya bersama teman wanita ketika bermalam di sebuah hotel di Tangkak, Johor, semalam, kegiatan suspeknya terbongkar, manakala seorang lagi suspek ditahan di Kajang.

Suspek lelaki tidak bekerja, manakala wanita itu seorang penuntut sebuah kolej swasta ditahan selepas terbabit dalam kegiatan pecah pejabat.

Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, berkata selepas menerima maklumat berkaitan kes pecah pejabat di Jalan Bandar Melawati, Melawati Square, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan dan menahan dua lelaki serta seorang wanita di Kajang Selangor dan Tangkak, Johor.

Beliau berkata, polis juga membuat rampasan beberapa barang kes disyaki bersabit kes disiasat dan berjaya menyelesaikan dua kes iaitu di daerah Ampang Jaya dan Kajang.

Beliau juga menyatakan, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah dan suspek kedua pula mempunyai sembilan rekod lampau, manakala suspek ketiga tidak mempunyai rekod jenayah.

Oleh itu, semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Beliau juga berkata, modus operandi suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu ialah menyewa kereta sebelum melakukan kegiatan pecah pejabat di Melawati dan di Kajang.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply