TARAZ, KAZAKHSTAN – Seorang lelaki ‘dimasak’ hidup-hidup selepas terjatuh ke dalam bekas mengandungi keluli cair yang mendidih dalam satu kemalangan mengerikan di sebuah kilang keluli di Kazakhstan, lapor akhbar Daily Star semalam.

G K Yeskaliev, 50, merupakan seorang pekerja yang menjaga relau panas mendidih di kilang Zapchast di bandar Taraz.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia terjatuh ke dalam bekas besar yang mengandungi keluli cair di dalam relau panas.

Yeskaliev dilihat tersandung kaki ketika mencampurkan bahan itu menggunakan batang besi besar.

Takat lebur keluli karbon adalah sekitar 1,540 darjah Celsius manakala badan manusia hanya boleh menahan suhu panas kira-kira 40 darjah Celsius.

Yeskaliev dilaporkan tidak mempunyai peluang untuk terselamat dalam insiden itu, namun keadaannya tidak dijelaskan.

Beberapa laporan media tempatan menyebut dia membawa sebatang besi dan menggunakannya untuk menolak objek lain ke dalam relau, namun batang tersebut melantun kembali, menyebabkan Yeskaliev gagal mengimbangi badannya.

“Yeskaliev terjatuh ke dalam relau menggelegak dan seluruh badannya melecur,” kata satu laporan media.

Sementara itu, satu lagi laporan menyebut lelaki berkenaan cuba membaiki sesuatu di dalam relau tersebut menggunakan batang besi.

“Namun, mangsa tidak dapat menahan batang besi itu lalu terjatuh ke dalam relau yang mendidih,” kata laporan berkenaan.

Jabatan kecemasan wilayah Zhambyl mengesahkan insiden itu dan siasatan ke atas kemalangan tersebut sedang disiasat.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Tukang Kasut Didakwa Bunuh, Simbah Anak Sendiri Dengan Air Panas

Seorang tukang kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan sulungnya berusia sembilan tahun dan menyimbah seorang lagi anaknya dengan air panas menggelegak daripada cerek sehingga melecur di bahu dan lutut.

Tertuduh, Mohd Yasin Halik, turut didakwa menyimbah teman wanitanya seorang warga Indonesia yang ketika itu sedang tidur, dengan air panas sehingga mangsa melecur di bahagian punggung.

Kedua-dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun itu juga adalah warga Indonesia hasil bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hanya dikenali dengan nama Suma.

Lelaki itu yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, hanya menangguk tanda memahami tuduhan membunuh anak perempuannya pada jam 9 malam, 9 Disember lalu di sebuah rumah di Jalan Pudu, di sini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Yasin yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Wong Chai Sia kemudian menetapkan pada 21 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi tuduhan mencederakan teman wanitanya di tempat sama pada jam 1 pagi 8 Disember lalu, Chai Sia menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas Mohd Yasin selepas lelaki itu mengaku salah.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Ketika ditanya oleh majistret sama ada untuk merayu bagi diringankan hukuman, Mohd Yasin hanya menggelengkan kepala.

Di Mahkamah Sesyen pula, Mohd Yasin turut mengaku salah menyimbah air panas ke atas anak bongsunya berusia enam tahun enam bulan pada 1 Disember lalu dan Hakim, Norina Zainol Abidin, menetapkan pada 9 Januari ini bagi jatuh hukum.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply