Pelaksanaan PKP Secara Menyeluruh Hanya Bersifat Sementara | Baru-baru ini, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan menguatkuasakan larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.
Keputusan terbaharu dengan larangan lebih tegas dan ketat itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Dalam pada itu, dikatakan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat secara menyeluruh ini hanya bersifat sementara bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.
Sementara itu, pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata PKP hanya mengawal pergerakan orang ramai yang boleh meratakan lengkuk jangkitan.
Menurutnya, kes akan terus meningkat seperti yang berlaku sebelum ini sekiranya tidak dikawal.
“Ia bukan penyelesaian, tetapi sekadar melambatkan dan memanjangkan beban untuk hari akan datang,” lapornya kepada Berita Harian.
Beliau turut mengulas langkah pelaksanaan PKP di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa esok. Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, tarikh kuat kuasa larangan bagi rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan bermula hari ini sehingga 6 Jun.
Bukan itu sahaja, katanya, tarikh kuat kuasa bagi larangan dan arahan lain bermula pada Rabu ini hingga 7 Jun 2021 manakala SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan dalam PKP akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) UM berkata, PKP kali ini akan membenarkan sektor ekonomi diteruskan seperti biasa dan ini boleh membawa padah jika tiada saringan berkala dibuat.
Katanya, saringan berkala perlu dilakukan bagi memastikan tiada yang positif menjangkiti mereka di dalam sektor ekonomi tersebut. Penularan jangkitan juga akan terus berlaku jika ada pergerakan, perkumpulan terutama dalam keadaan tertutup seperti kilang, pejabat dan sebagainya.
“Selagi mereka yang positif tidak dikesan, jangkitan akan terus berlaku,” katanya.
Sementara itu, pengamal perubatan yang juga merupakan pakar kesihatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, beliau sendiri melihat jumlah kes semakin meningkat dan membimbangkan.
“Sebanyak 60 peratus kes sekarang adalah kes sporadik. Maksudnya, kita sudah tidak dapat menentukan kes itu dari mana puncanya dan wabak sudah memasuki komuniti.
“Memang ada kluster tertentu, tetapi ia sudah membentuk kes sporadik yang sukar dijejak puncanya,” katanya.
Sumber: Berita Harian