Pelaksanaan PKP ‘Secara Menyeluruh’ Jalan Terbaik Mengekang Penularan Covid-19 | Masyarakat hari ini semakin bimbang ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan.

Mereka juga turut memberi pandangan, kemungkinan tiada perubahan drastik terhadap SOP PKP3.0, melainkan larangan merentas daerah dan lain-lain ketetapan berkaitan aktiviti sambutan Aidillfitri. Kebanyakan netizen yakin banyak sektor akan tetap dibenarkan beroperasi seperti kebiasaannya.

Pelaksanaan PKP 'Secara Menyeluruh' Jalan Terbaik Mengekang Penularan Covid-19

Kuala Lumpur: “Virus menular apabila manusia bergerak dan selagi ada individu dijangkiti selagi itu penularan akan berlaku,” kata Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

Menurut beliau, langkah yang perlu diambil adalah sentiasa kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Beliau turut berkata, memandangkan sukar bagi memastikan rakyat mematuhi SOP, maka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh adalah jalan terbaik bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sesiapa saja boleh membawa virus dan dijangkiti termasuk mereka yang bekerja di sektor ekonomi serta penerima vaksin.

“Ini kerana ada penerima vaksin yang merasakan diri mereka sudah kebal dan tidak mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sebab itulah ada penerima vaksin juga dijangkiti Covid-19.

“Vaksin bukan melindungi daripada jangkitan tetapi membantu mengurangkan kadar rawatan dan kematian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Dr Sazaly berkata, sekiranya PKP secara menyeluruh tidak dilaksanakan maka keadaan akan makin bertambah teruk dan jumlah peningkatan kes juga dianggarkan semakin banyak.

Tambah beliau, apa yang lebih membimbangkan ketika ini adalah kadar kematian akibat Covid-19 yang meningkat secara mendadak.

Menurutnya, kes kematian wajar diberi perhatian serius dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mendedahkan kematian pesakit sebagai satu cara untuk menyedarkan masyarakat tentang bahayanya wabak Covid-19.

“Jika dibuat perbandingan kes positif dan kematian dalam waktu singkat ini, kadar kematian jauh lebih tinggi.

“Apa yang menakutkan apabila pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 adalah di kalangan orang muda seawal usia 20-an,” katanya.

Justeru, beliau berkata, KKM perlu memainkan peranan lebih efektif melalui nasihat dan langkah boleh diambil pesakit positif Covid-19 yang dikuarantin di rumah bagi menjalani rawatan dan mengurangkan kadar kematian.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply