Pelajar UniSZA Diarah Jalani Ujian Saringan Covid-19 | Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengesahkan semua pelajar universiti itu diminta menjalani ujian saringan Covid-19 susulan wujudnya jangkitan wabak tersebut dalam kalangan penuntut di sana.
UniSZA dalam satu kenyataannya memaklumkan hebahan mengenai arahan itu telah dikeluarkan kepada semua pelajar yang ada di kampus dan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pelajar UniSZA yang berada di kampun dan dikenal pasti sebagai kontak rapat telah pun melakukan ujian calitan dan semua pelajar telah dikuarintin di kolej kediaman masing-masing.
Manakala bagi pelajar yang pulang ke kampung halaman, mereka juga diminta untuk menjalani ujian calitan (kontak rapat) dan kuarintin di rumah masing-masing.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut berapa ramai pelajar yang disahkan positif Covid-19 dan punca jangkitan.
Difahamkan, selain pelajar, kakitangan universiti itu juga diminta menjalani ujian calitan.
Terdahulu, tular di media sosial satu surat makluman dikeluarkan UniSZA yang mengatakan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus telah mengesan kewujudan kluster melibatkan pelajar UniSZA yang berada dalam kampus.
Susulan pengesanan itu, UniSZA diarahkan supaya memaklumkan kepada semua pelajar yang tinggal di kampus dan pulang ke kampung agar menjalani ujian saringan di klinik kesihatan berhampiran.
Sumber: Sinar Harian