PETALING JAYA – Satu laporan polis serta kertas siasatan dibuka berhubung kejadian sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard menggunakan laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, menghala Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian tersebut dikesan pihaknya pada pukul 10.30 malam menerusi sebuah video tular di aplikasi WhatsApp.

Katanya, rakaman video tular berdurasi 25 saat itu memaparkan sebuah kereta jenis Toyota Alphard dipandu di lorong motosikal.

“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku semalam dan tindakan mengesan pemilik kenderaan masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamad Fakhruddin menasihatkan kesemua pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan yang akan membahayakan nyawa arau keselamatan orang lain.

“Mana-mana saksi yang lihat kejadian mohon tampil ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Hafeez Faesal A. Aziz di talian 013-32311232 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Kosmo

Baca Juga:  Padah! Pemandu Alphard Berlagak ‘Samseng’ Di Jalan Raya. Ini BALASANNYA

Pemandu Toyota Alphard yang dirakam berlagak samseng, menggunakan laluan kecemasan dan meludah ke arah kenderaan lain di Lebuhraya Karak pada April lalu dihadapkan dengan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Padah! Pemandu Alphard Berlagak 'Samseng' Di Jalan Raya. Ini BALASANNYA

Tertuduh, Lim Koh Cing, 44, didakwa memandu sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pertuduhan itu memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan meludah ke arah kenderaan lain melalui tingkap pemandu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM400.

Bagi pertuduhan ketiga, Koh Cing didakwa memandu di laluan kecemasan dan dituduh mengikut Kaedah 53(1) Lalulintas 1959.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.40 petang, 30 April yang lalu di Lebuhraya Karak arah Bentong, Gombak.

Selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Koh Cing mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan membabitkan dakwaan memandu secara meululu dan memandu di laluan kecemasan.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan meludah dan didenda maksimum RM400.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Anis Farhah mencadangkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dikenakan ke atas tertuduh.

Namun, Koh Cing merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana dia perlu menyara keluarganya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Koh Cing ditahan reman selama tiga hari bermula 2 Mei 2022 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki itu sebelum ini ditahan di pekarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply