IPOH – 10 komputer riba percuma disediakan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak kepada pelajar terutama kalangan B40 yang memerlukan bagi tujuan pembelajaran.
Ketua Biro Kebajikan Pelajar Muda Perak, T Ahvinraaj berkata, pemberian komputer riba itu digerakkan susulan terkesan dengan tindakan seorang pensyarah.
Pensyarah tersebut memarahi pelajarnya kerana tidak mempunyai komputer riba ketika sesi pembelajaran maya.
Selain itu, pensyarah tersebut turut bersikap merendah-rendahkan pelajar B40 sepertimana video tular.
Menurutnya, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sepatutnya menggunakan pengaruh yang ada untuk membantu pelajar dengan bersikap empati dan bukannya memaki.
“Daripada kutuk orang yang memerlukan bantuan, lebih baiklah hulurkan lah bantuan.
Katanya, Muda di Muar (Johor) berjaya kumpulkan dana dan membantu menyalurkan 1,620 laptop serta tablet untuk pelajar yang memerlukan.
Oleh itu, Muda di Perak, akan turut membantu melakukan hal yang sama.
“Pada peringkat awal ini, sebanyak 10 komputer riba percuma telah disediakan.
“Jadi mana-mana pelajar yang memerlukan boleh menghubungi Muda Perak dengan segera di talian 016-719 5674,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan pensyarah tersebut memarahi pelajarnya ketika sesi pembelajaran maya.
Video tersebut telah tular di laman sosial Twitter sejak Selasa malam.
Pensyarah itu turut meminta kakak pelajar tersebut menjual gelang emas untuk membeli komputer.
Selain itu, kata-kata pensyarah tersebut yang seolah-olah menghina golongan B40 turut mengundang kemarahan netizen.
Sumber: Sinar Harian