Sebelum ini, kecoh mengenai isu pendakwah bebas memberi teguran kepada penyanyi, Ifa Raziah berhubung tidak menutup aurat tetapi sudah tiga kali dijemput Allah ke Tanah Suci Mekah.
Terbaharu, Ifa Raziah tampil memberi respon susulan dikaitkan dengan dakwaan pergi umrah tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna sebagai tanda-tanda istidraj.
Menurut pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha, kenyataan yang dikeluarkan oleh pendakwah bebas itu disifatkan umum.
Namun, dia merasakan dirinya terpanggil untuk menjelaskan perkara terbabit.
“Siapa orang itu nak letakkan saya ni istidraj. Dia tahu ke maksud istidraj? Jangan buat kerja tuhan.
“Setahu saya yang jahil dan seorang pendosa ini, istidraj itu adalah orang yang lupakan Allah SWT. Nak sebut nama Allah pun ketat hati dia,” jelasnya.
Ujarnya lagi, jika dirinya tergolong dalam golongan istidraj, dia tidak akan membuat perkara-perkara seperti solat dan belajar mengaji yang sudah menjadi rutin hidupnya.
“Perlu ke saya nak tunjuk waktu malam saya bangun tahajud, perlu ke setiap kali solat saya buat live.
“Perlu ke setiap kali saya belajar mengaji secara online saya buat live,” ujarnya.
Sambil itu, dia turut menjelaskan mengenai kesenangan yang dimilikinya ketika ini.
Meskipun, dia boleh pergi ke mana-mana sahaja, tetapi Allah telah menggerakkan hatinya untuk menjadi tetamu di Mekah sebanyak tiga kali.
Tambahnya lagi, dia memilih untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan mahu mencuci dosanya di Tanah Suci kerana dia sangat suka pergi ke Tanah Suci berbanding negara lain.
“Dekat sana saya boleh dekatkan diri dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Itu ke yang dinamakan istidraj?
“Kenapa manusia durjana ini semua nak pertikaikan kehendak Allah?
Katanya lagi, Allah tahu dia belum bertudung tapi Allah menjemputnya untuk belajar banyak perkara baru dalam hidup semasa membuat ibadah.
Dia bagaimanapun mengakui sudah lali menerima pelbagai kecaman serta kritikan sejak bergelar anak seni 26 tahun lalu.
Dia mengetahui bahawa membuka aurat itu dosa besar dan menutup aurat itu wajib.
Dalam livenya itu, dia turut meminta orang ramai supaya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk dirinya dan dia sedang berusaha berubah ke arah itu.
Tambahnya lagi, apabila individu yang jahil serta pendosa sepertinya bagi komen, semua orang tidak boleh menerima pandangannya.
“Terpulang hak masing-masing sebab hidup kita ini diberikan pilihan.
“Kalau orang suka saya, Alhamdulillah, kalau orang benci saya pun tak ada masalah.
“Dipuji pun saya tak akan terbang, dihina pun saya tak akan tumbang,” katanya.
Sumber: Oh Bulan