Penduduk Bimbang Dilanda Banjir Merah. | JOHOR BAHRU: Banjir merah yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, awal pagi tadi, dipercayai berpunca dari sebuah kilang elektronik berhampiran yang sudah tidak beroperasi sejak setahun lalu.

Penduduk bimbang dilanda banjir merah.

Penduduk kampung berkenaan, Azmi Misri, 54, berkata fenomena banjir merah yang melanda di situ, selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi tadi adalah kejadian pertama yang berlaku.

Beliau yang juga mantan Ketua Kampung Pasir berkata, ia menimbulkan kebimbangan penduduk apabila banjir kilat itu berbau seperti minyak, selain menyebabkan anggota badan menjadi gatal.

“Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku.

“Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang elektronik berhampiran yang setahun sudah tidak beroperasi, berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ.

“Penduduk berharap perkara ini disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banjir kilat kerap berlaku di Kampung Seri Jaya Baru, apabila hujan lebat bertembung air Sungai Sekudai.

Katanya, ia berikutan tiga pam yang sepatutnya mengepam limpahan air di tali air serta anak sungai ketika hujan lebat, sudah rosak.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter, surut dalam kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

“Namun, air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul.

“Penduduk juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Bagaimanapun, bomba tidak dapat mengenal pasti punca warna air banjir itu.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply