Penduduk Leka Beriadah Lari Keluar Bila Nampak Polis Pantau Taman Awam | Terkejut melihat sekumpulan polis dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), penduduk yang sedang berjoging dan bersenam di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam, segera berlari keluar dari lokasi berkenaan.
Tinjauan dilakukan oleh pihak berkuasa bermula pada jam 7 pagi tadi mendapati masih terdapat segelintir penduduk yang degil dan meneruskan aktiviti beriadah di taman itu seperti biasa meskipun sekatan pengerakan penuh (SPP) fasa pertama sudah masuk hari keenam.
Terdapat kain rentang yang dibentang oleh pihak MBSA berwarna jingga tertulis ‘Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Semua Taman-Taman Awam Akan Ditutup Bermula 1-14 Jun’ di pintu masuk utama taman itu.
Seorang penduduk dikenali sebagai Aisyah, 35, yang tinggal berhampiran taman itu berkata sejak dari hari pertama pelaksanaan SPP ada sahaja pengunjung yang melakukan aktiviti di taman pada setiap pagi dan petang seperti biasa.
Menurutnya, ia melihat keadaan itu seperti biasa, seolah-olah tiada pelaksanaan PKP kerana penduduk keluar masuk taman pagi dan petang seperti biasa, malah semakin ramai menjelang waktu petang.
Baginya ini tidak adil bagi penduduk yang patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan berkorban untuk berada di rumah sepertinya sepanjang tempoh ini.
Sementara itu, Ali Abdullah, 58, pula kesal apabila ramai ibu bapa membawa masuk bayi berusia bawah dua tahun masuk ke kawasan taman berkenaan, petang semalam.
Katanya, pada waktu pagi terdapat banyak ‘serious jogger’ sepertinya dan mereka betul-betul menjaga SOP namun pada waktu petang dilihat ramai yang membawa keluarga termasuk anak-anak bawah dua tahun malah ada yang membawa anak kecil berbasikal, petang semalam.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu ia memilih untuk tidak masuk dalam taman dan hanya joging di laluan pejalan kaki, cuma ia amat berharap pihak MBSA menambah baik laluan pejalan kaki di luar untuk keselesaan penduduk terutamanya yang sudah berusia sepertinya.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, sepanjang tempoh SPP, taman-taman awam ditutup sepenuhnya dan orang ramai tidak dibenarkan masuk untuk melakukan aktiviti riadah kerana kekhuatiran orang awam akan berkumpul.
Untuk rekod, selain Taman Tasik Seksyen 7, dibawah kawasan pentadiran MBSA, terdapat lebih 20 taman awam antaranya Taman Tasik Shah Alam Seksyen 14, Central Park Setia Alam, Taman Wetland 1 & 2 Kota Kemuning dan Taman Rekreasi Bukit Jelutong.
Sumber: Metro