Penduduk Melbourne Dikenakan Perintah Berkurung Mengejut Selama Seminggu | Lebih lima juta penduduk di bandar raya kedua terbesar di Australia ini diarah menjalani perintah berkurung seminggu susulan penularan baharu Covid-19.
Melbourne: Pemangku Ketua Menteri Victoria, James Merlino, berkata arahan terbabit bermula tengah malam ini, untuk tempoh tujuh hari selepas 26 kes baharu direkodkan. Dalam pada itu, sekatan pergerakan (lockdown) berkenaan akan dikuatkuasakan di bandar kedua terbesar Australia, Melbourne dan seluruh negeri Victoria.
Ianya dilakukan bagi mengekang peningkatan kes baharu Covid-19.
“Sejak akhir-akhir ini, kita mendapati lebih banyak jangkitan virus yang lebih kuat, varian membimbangkan (VOC), berjangkit dengan lebih pantas berbanding sebelum ini,” katanya.
Varian berkenaan yang dikesan dikenal pasti sebagai B1617, yang merebak secara meluas di India.
Perintah berkurung yang dilaksanakan adalah bagi memudahkan pengesanan kontak manakala penduduk dibenarkan keluar rumah bagi urusan penting termasuk untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Menurut Parti Buruh, sebanyak 17 penularan baharu dikesan dalam tempoh enam bulan dan parti pembangkang itu mengecam kerajaan konservatif kerana enggan menambah baik sistem kawalan pandemik.
Australia merekodkan kira-kira 30,000 kes positif dan 1,000 kematian akibat Covid-19, majoritinya di Victoria susulan gelombang kedua tahun lalu.
Sumber: Berita Harian