Padah Bekumpul Dan Berhibur, Enam Individu Dikompaun RM 4,000 | Seramai empat lelaki dan dua wanita ditahan dan dikompaun sebanyak RM 4,000 dalam satu serbuan polis di sebuah bilik di Jalan Persiaran Cinta Sayang, Sungai Petani, awal pagi tadi, selepas didapati berkumpul dan berhibur.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata enam individu berusia antara 17 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Op Cantas/Op Covid pada jam 1.30 pagi tadi.
Melalui pemeriksaan yang dijalankan, kesemua suspek berkumpul dan meminum minuman keras serta menghisap dadah menyebabkan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Pemeriksaan lanjut turut menemui dadah dipercayai jenis ketamin dianggar seberat 0.8 gram pada seorang suspek lelaki berusia 29 tahun dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah berkenaan.
Adzli berkata, semakan mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Menurutnya, dua wanita yang berusia 17 dan 21 tahun mengaku bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala tiga lelaki lain bekerja sebagai pemandu lori dan pencuci kereta.
Oleh itu, kesemua mereka dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021.
Suspek yang terbabit dadah juga akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan direman untuk tindakan lanjut.
Sumber: Berita Harian