Berkeliaran Di Tempat Awam, Lelaki Pakai Gelang ‘Pink’ Dikompaun RM4,000 | Penularan wabak Covid-19 di negara sangatlah membimbangkan ekoran jumlah kes yang semakin meningkat beberapa minggu ini. Justeru itu, rakyat dinasihatkan agar kekal berada di rumah dan hanya keluar apabila mempunyai urusan penting sahaja.
Bukan itu sahaja, individu yang memakai gelang ‘pink’ diarahkan kuarantin wajib 14 hari dan sentiasa memakai gelang tangan sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah.
Butterworth: terbaru, pihak polis telah mengeluarkan kompaun yang berjumlah RM4,000 terhadap seorang lelaki yang berkeliaran dengan tangannya terdapat gelang berwarna merah jambu di sebuah kompleks makanan dekat Telok Ayer Tawar, di sini, semalam.
Kompaun itu dikeluarkan selepas pihak polis menjalankan siasatan susulan aduan orang awam, selain mengadakan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan terhadap lelaki berusia 58 tahun itu mendapati dia masih menjalani tempoh kuarantin. Beliau berkata, tindakan lelaki berkenaan berada di tempat awam telah menyebabkan pihak polis polis mengeluarkan kompaun RM4,000 ke atasnya.
Noorzainy berkata, secara keseluruhannya polis daerah itu mengeluarkan sejumlah 27 kompaun bernilai RM78,500 dalam operasi pemantauan SOP semalam.
“Daripada jumlah yang dikompaun itu kebanyakan mereka didapati banyak melakukan kesalahan dengan duduk berkumpul tanpa menjaga penjarakan fizikal.
“Selain itu, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas pemilik sebuah kilang berusia 57 tahun kerana gagal mengimbas kod QR Mysejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengeluarkan 237 kompaun bernilai RM694,000 atas kesalahan pelanggaran SOP.
“Bagi kesalahan rentas daerah dan negeri masing-masing merekodkan sebanyak 47 dan 46 kompaun.
“Selebihnya, membabitkan pelanggaran SOP asas yang didapati masih ramai yang ingkar dan susah untuk menuruti arahan kerajaan,” katanya.
Noorzainy menasihati orang awam supaya dapat melindungi diri daripada menjadi mangsa jangkitan Covid-19 dengan mematuhi SOP.
“Tambahan pula, daerah ini sudah menjadi kawasan zon merah dan orang ramai harus peka dengan keadaan semasa untuk melindungi diri,” katanya.
Sumber: Harian Metro