Penduduk Singapura Kini Lega Dapat Hirup Udara Segar Tanpa Pelitup Muka | Penduduk Singapura kini lega kerana tidak lagi perlu memakai pelitup muka mulai hari ini, selepas kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19, namun masih ramai yang memilih untuk terus memakainya ketika berada di luar.

Singapura melonggarkan langkah pengurusan selamat COVID-19 mulai hari ini sejajar dengan berkurangnya kes jangkitan setelah ia melonjak awal tahun ini.

Hingga 75 peratus pekerja kini dibenarkan kembali ke pejabat dan had kapasiti bagi acara besar dengan lebih 1,000 orang juga akan dinaikkan ke 75 peratus.

Singapura juga akan memudahkan perjalanan rentas sempadan secara ketara dengan melonggarkan lebih banyak sekatan bagi pengunjung yang sudah divaksin penuh untuk masuk ke Singapura.

Langkah pelonggaran itu diumumkan pada 23 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19.

Jangkitan COVID-19 Singapura kian susut selepas memuncak dengan 26,032 kes pada 22 Februari lalu.

Bilangan kes coronavirus turun secara beransur-ansur daripada lebih 24,000 pada 1 Mac lalu kepada sekitar 10,000 kes sejak beberapa hari kebelakangan manakala kemasukan ke hospital berkurangan daripada 1,238 kepada 951.

Antara perubahan besar yang diumumkan ialah kumpulan hingga 10 orang yang divaksin penuh boleh menjamu selera di luar dan isi rumah juga boleh menerima hingga 10 tetamu pada satu-satu masa.

Pemakaian pelitup muka juga tidak dikehendaki di sekitaran luar, tetapi pelitup muka masih perlu dipakai di ruang tertutup seperti dalam pengangkutan awam, pusat beli-belah dan bilik darjah.

Pemerintah turut memperkenalkan skim perjalanan baru, yang dinamakan Rangka Kerja Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi, untuk menggantikan skim Laluan Perjalanan bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) sedia ada.

Di bawah rangka kerja itu, setiap negara dan wilayah akan diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu Perjalanan Umum atau Kategori Larangan.

Semua pengunjung yang divaksin penuh, dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah akan dapat memasuki Singapura hanya dengan ujian sebelum keberangkatan mulai 11.59 malam pada 31 Mac.

Pengunjung juga tidak lagi perlu menaiki penerbangan yang dikhususkan untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin, dan tidak perlu mengambil ujian pantas antigen (ART) selepas tiba. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply