Pengantin Baru Urus Jenazah Sehari Selepas Bersanding |  Sehari sebelumnya mereka dilaporkan masih berbaju pengantin dan bersanding di pelamin dalam majlis yang penuh meriah di Permatang Berangan, Tikam Batu, dekat sini.

Pengantin Baru Urus Jenazah Sehari Selepas Bersanding

Namun, semalam pasangan pengantin baru, Muhammad Ridzuan Osman, 34, dan isteri, Nur Afifah Habib, 26, dikatakan telah menyarung pakaian perlindungan diri (PPE) kerana mengurus jenazah lelaki warga emas yang juga pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin Sungai Layar pada jam 5 petang.

Bagi Muhammad Ridzuan yang juga Ketua Operasi Skuad Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (Madad), dia sudah terbiasa dengan keadaan itu dan bersyukur kerana isteri memahami tugasnya yang memang aktif sebagai sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambungnya, dia juga menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kematian seorang pesakit berusia 80 tahun akibat Covid-19.

Jelasnya, dia telah memberitahu isterinya bahawa ada pesakit Covid-19 meninggal dunia dan dia juga bersetuju untuk pergi bersama mengambil jenazah di hospital seterusnya ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian.

Dia turut menzahirkan rasa syukur kerana isteri memahami tugasnya selain turut sama membantu rakan sukarelawan lain menguruskan pengebumian sehingga selesai.

Menurutnya lagi, dia mengenali isteri sejak setahun lalu dan lebih menarik mereka keluar ‘dating’ dengan menaiki van jenazah bersama beberapa rakan sukarelawan lain.

Dia juga memberitahu bahawa isterinya itu langsung tidak mengeluh dan menerima seadanya kerana tahu dia tidak mempunyai  kenderaan lain malah sejak daripada itu dia turut aktif dengan aktiviti sukarelawan yang dijalankan.

Dia berkata, dia bersyukur kerana dapat memperisterikan wanita yang memahami dan ‘sekepala’ dalam menjalankan aktiviti sukarelawan bagi membantu insan yang dalam kesusahan.

Sumber: Harian Metro 

Share.

Leave A Reply