Peniaga Pakaian Didakwa Cederakan Isteri Hingga Parah | Seperti yang kita sedia maklum, negara kita pada ketika ini masih lagi bergelut dengan penularan wabak Covid-19 dan ekoran itu juga kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan berkenaan. Bagaimanapun, sering juga kita dengar berkaitan isu keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat.
Kes keganasan rumah tangga semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes berkenaan boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara ini.
Johor Bahru: Seorang peniaga yang mempunyai tiga isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya pada 4 Mei lalu.
Tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 38, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V M Mabel Sheela.
Sementara itu, mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isteri ketiga, Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 berikutan keseriusan kes yang menyebabkan isteri tertuduh dilaporkan koma selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Bagaimanapun tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana dia menanggung tiga isteri dan tujuh anak.
Dalam pada itu, Hakim kemudian memerintahkan tertuduh untuk membayar jaminan RM7,000 dengan dua penjamin. Bukan itu sahaja, tertuduh juga diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran selain diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan.
Sumber: Berita Harian