Sultan Kelantan Zahirkan Rasa Bimbang Terhadap Golongan Yang Ambil Ringan Tentang SOP

| May 5, 2021 | 0 Comments

Sultan Kelantan Zahirkan Rasa Bimbang Terhadap Golongan Yang Ambil Ringan Tentang SOP | Sambutan hari raya pada tahun ini pastinya jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya memandangkan wabak Covid-19 yang masih menular ni negara ini.

Jika sebelum ini, ramai yang ghairah membuat persiapan termasuk mengatur rancangan untuk pulang beraya di kampung halaman yang sudah menjadi tradisi menjelang hari raya, namun pada kali ini orang ramai terpaksa beraya dalam keadaan masih tidak boleh untuk merentas negeri.

Sultan Kelantan Zahirkan Rasa Bimbang Terhadap Golongan Yang Ambil Ringan Tentang SOP

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar semua rakyat di Kelantan, perantau, golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd. Shafriman Nik Hassan berkata, baginda telah menitahkan larangan itu berikutan penularan varian Afrika Selatan B:1:351 yang turut dikesan di Kelantan berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan di atas peningkatan mendadak kes positif Covid-19 sejak pertengahan bulan April yang lalu daripada dua angka hingga mencecah lebih 400 kes setiap hari.

Bukan itu sahaja, katanya, baginda berasa sangat dukacita melihat ramai rakyat negeri ini masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kelantan hampir memenuhi kapasiti. Ia turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada yang terpaksa ditempatkan di wad biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut beliau, baginda turut bertitah bahawa jumlah pesakit yang meningkat telah memaksa Kerajaan Negeri bagi membuka hospital lapangan di Padang Perdana di sini dan itu menunjukkan situasi yang kritikal di negeri Kelantan.

Tambahnya, baginda turut menyarankan peniaga supaya lebih mengutamakan pengurusan perniagaan secara dalam talian.

Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling. Selain itu, baginda juga bersimpati dengan kakitangan Kementerían Kesihatan yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.

Dalam pada itu, baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

“Akhir sekali, sempena minggu terakhir bulan Ramadhan, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 akan dapat dibendung secepat mungkin dan tindakan kolektif yang diambil oleh rakyat akan dapat segera melandaikan lengkuk jangkitan yang membimbangkan ini,” katanya.

Sumber: Kosmo, Berita Harian 

 

Tags: , , , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *