Perkembangan Terkini Juruterbang Mejar Mohd Fareez | Juruterbang pesawat Hawk, Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera tulang belakang selamat menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi dan kini dalam keadaan stabil.
“Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada 17 November jam 7 petang di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Beliau selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan sedar serta dalam keadaan yang stabil,” katanya, hari ini.
Menurutnya, Mohd Fareez kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.
“Bagi rancangan rawatan selanjutnya, TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan diuruskan dengan sebaik-baiknya.
“Urusan kebajikan isteri beliau, Siti Hajar Abdullah serta dua anak yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth,” katanya.
Katanya, TUDM menubuhkan Lembaga Siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan pesawat Hawk 108 itu.
“TUDM juga meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih kebenarannya serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mohd Fareez,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan TUDM akan menjalankan siasatan teknikal terperinci berhubung insiden pesawat pejuang Hawk terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.
Dalam kejadian jam 10.07 malam itu, seorang juruterbang maut manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.
Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.
Sebelum kejadian, kedua-dua juruterbang berkenaan dikatakan sedang melakukan latihan penerbangan.