Tular Video Pemandu Myvi Merah Memandu Lawan Arus | Polis menahan seorang lelaki yang dikenal pasti pemandu kereta jenis Perodua Myvi merah pada Rabu selepas dipercayai memandu melawan arus di Kilometer (KM) 140, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini.

Tular Video Pemandu Myvi Merah Memandu Lawan Arus

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, penahanan lelaki berusia 74 tahun itu dibuat susulan satu rakaman video berdurasi enam saat yang tular berhubung sebuah kereta dipandu secara berbahaya dengan melawan arus di lokasi sejak Selasa lalu.

Menurutnya, sejurus menerima laporan, polis terus membuat pengecaman berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan dan berjaya mengesan pemilik kereta tersebut yang beralamat dari Pahang.

“Siasatan awal mendapati suspek yang ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman merupakan bekas pemandu lori dan semasa kejadian, dia telah memandu kereta yang didaftarkan atas nama anaknya.

“Suspek mengaku memandu kenderaan yang ditularkan dalam video tersebut dengan memberi alasan dia hanya menyedari memandu melawan arus setelah diberi isyarat lampu tinggi beberapa kali oleh kenderaan lain dari arah hadapan dan memberhentikan kereta dipandunya di tepi pembahagi jalan sebelum dibantu pengguna jalan raya lain untuk ke laluan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Ismail berkata, suspek kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkan warga emas itu menghidapi masalah penglihatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu Secara Melulu dan Merbahaya), jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 30 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu jika seseorang pemandu itu didapati tidak layak memandu oleh pegawai perubatan disebabkan faktor kesihatan jasmani yang mungkin menjadi suatu punca bahaya kepada orang awam dan siasatan dijalankan, boleh dibatalkan lesen memandu oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail mengingatkan kepada semua pemandu yang menghadapi sebarang masalah kesihatan agar menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan pegawai perubatan supaya dapat memandu dengan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sebelum ini, satu video berdurasi enam saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dan dikongsikan dalam sebuah laman Facebook komuniti.

Video tersebut memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna merah yang dipandu melawan arus di Kilometer (KM) 140, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini pada Selasa.

Sumber : Sinar Harian, Inforoadblock

Share.

Leave A Reply