Ibu Tunggal Cecah Dua Juta, Anak Yatim Di Afghanistan Tunggu Bantuan | Ibu tunggal telah dianggarkan telah mencecah kira-kira dua juta selain 1.5 juta anak yatim di Afghanistan dilaporkan sedang menantikan bantuan kemanusiaan antarabangsa, baru-baru ini.
Menurut Menteri Syuhadah dan Orang Kurang Upaya Afghanistan, Abdul Majeed Akhund, pendudukan tentera asing serta peperangan di negara terbabit telah menyebabkan ramai wanita telah menjadi ibu tunggal akibat kematian suami, selain menjadi cacat akibat letupan bom atau ditembak.
Jelasnya, ramai rakyat Afghanistan menjadi buta, hilang kaki dan hilang upaya tubuh akibat serangan dilakukan tentera luar dan jumlah itu sukar dihitung.
Difahamkan ketika ini hanya 150,000 penduduk Afghanistan yang cacat akibat kesan peperangandan mereka telah mendaftar dengan kementerian ini. Abdul Majeed mendakwa, angka tersebut akan terus meningkat terutama jika diambil kira mereka yang menetap di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, Afghanistan yang memiliki hospital di kesemua 34 wilayah di negara itu dilaporkan sedang berdepan masalah dana, ubat-ubatan, alatan surgeri dan pakar membuat anggota tubuh palsu (prostesis).
Beliau turut menyatakan harapan supaya negara luar dapat memahami situasi sukar dihadapi Afghanistan kini dan kerajaan menerima sebarang bentuk bantuan dan sokongan yang diberikan kepada mereka.
Sebelumnya, Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.
Menerusi Sinar Harian, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh manakala dua lagi cedera dalam dua letupan bom yang berlaku di barat Kabul.
Sementara itu, kerajaan baharu Afghanistan dikatakan sedang mengusahakan tunggakan bayaran gaji dua bulan bagi kesemua kakitangan kerajaan.
Bagaimanapun, jumlah kakitangan yang terlibat di bawah kira-kira 25 kementerian di Afghanistan tidak diketahui.
Sumber: Sinar Harian