Perlis Akan Melaksanakan Solat Sunat Aidiladha Di Tanah Lapang | Seluruh negeri Perlis akan melaksanakan solat sunat Aidiladha di kawasan tanah lapang perkarangan masjid bermula pada jam 8 pagi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran berkenaan diberikan setelah mendapat limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri serta kebenaran aktiviti pengimarahan masjid di negeri itu semasa Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.
Pelaksanaan Solat Aidiladha dilaksanakan di tanah lapang berkenaan adalah di perkarangan masjid dan tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW selain dapat mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
Bilangan jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan kepada kapasiti saiz kawasan lapang. Dibenarkan untuk didirikan solat sunat Aidiladha sebanyak dua sesi iaitu pada sesi pertama pada 8 pagi dan sesi kedua pada 9 pagi. Ini bagi memastikan lebih ramai jemaah berpeluang untuk menyertai melaksanakan solat sunat aidiladha itu secara berjemaah.
Sekiranya keadaan cuaca yang tidak bersesuaian seperti hujan, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti saiz masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bermula 8.30 pagi. Jemaah yang tidak terpilih menyertai solat berkenaan perlu bersurai dan pulang untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing bersama ahli keluarga selaras dengan ketetapan dan risalah khutbah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bertitah, tempoh pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan khutbah adalah diringkaskan bagi mengurangkan risiko penularan. Selaras dengan ketetapan syarak, sebahagian jemaah boleh terus pulang ke rumah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha tanpa perlu mendengar khutbah.
Tambah baginda lagi, pelaksanaan solat sunat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama Islam kekal boleh tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak berkaitan.
SOP kehadiran dan penyertaan jemaah juga ditekankan dengan langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah diperketatkan. Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup separuh muka dengan digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka.
Baginda turut menekankan agar jemaah menjaga penjarakkan sosial iaitu 1.5 meter pada setiap masa. Setiap jemaah dikehendaki untuk membawa sejdah sendiri, mengambil wudhuk sebelum datang untuk mengerjakan solat dan juga mengelakkan daripada bersalaman. Yang paling penting adalah sentiasa melakukan imbasan suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan.
Warganegara dan bukan warganegara termasuk lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidiladha kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
Individu yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan atau negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir. Ahli keluarga mereka juga tidak dibenarkan untuk ikut serta melainkan sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
Sumber: Harian Metro