Lelaki Melecur Kedua-dua Tangan Ketika Cuba Padam Kebakaran | Kebelakangan ini sering kita dengar dan lihat di media sosial mahupun di dada akhbar kejadian yang melibatkan rumah musnah dalam kebakaran. Ada segelintir kejadian berkenaan hingga meragut nyawa seseorang dan ada juga yang berjaya menyelamatkan diri mereka walaupun akibatnya mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

Lelaki Melecur Kedua-dua Tangan Ketika Cuba Padam Kebakaran

Baru-baru ini kejadian yang berlaku di Ranau, seorang lelaki melecur di kedua-dua tangan ketika cuba memadamkan kebakaran membabitkan rumah sewa yang didiaminya bersama keluarga dalam kejadian di Kampung Kibbas pada malam Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.15 malam itu, mangsa yang berusia 43 tahun diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.21 malam.

Beliau berkata, pihak mereka kemudiannya bertindak atas maklumat berkenaan. Katanya, seramai 10 anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba didapati sebuah rumah telah terbakar sepenuhnya.

“Terdapat seorang penghuni melecur di kedua-dua tangan ketika cuba memadam api dan kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital,” katanya ketika dihubungi pada Ahad (hari ini).

Beliau mengulas lanjut, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan bekalan air dari sebuah sekolah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal jam 8.52 malam dan operasi ditamatkan pada jam 9.06 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply