Permintaan Meningkat, Bekalan Kurang? Rakyat Minta Kerajaan Tegas Memantau Harga Ayam
Kuala Lumpur: Rata-rata pengguna dan peniaga meminta kerajaan mengawal orang tengah yang berperanan memainkan harga ayam di pasaran.
Peniaga, Harun Matt, 49, berkata, pemantauan perlu dilakukan terhadap orang tengah yang menyebabkan harga bekalan ayam naik.
“Harga bekalan ayam perlu ikut harga pasaran kerana bekalan yang tidak menentu.
“Pengapungan harga ayam disambut baik keranan harga jualan ayam perlu mengikut harga jualan semasa yang sentiasa berubah-ubah,” katanya ketika ditemui di Pasar Keramat, di sini, hari ini.
Sementara itu, pekerja swasta, Sham Izzudin, 28, berkata, bekalan ayam perlu mencukupi sekaligus berjaya mengawal harga ayam daripada meningkat naik.
“Harga ayam jadi tidak menentu jika bekalan tidak mencukupi dan orang tengah mengambil peluang ini dengan memainkan harga.
“Bila permintaan meningkat tetapi bekalan kurang, harga akan tidak menentu malah naik tinggi menyebabkan pengguna terkesan,” katanya.
Bagi suri rumah, Siti Fatimah Rasap, 63, pengguna kini sangat terkesan berikutan gaji masih di tahap lama tetapi harga barang pula meningkat.
“Pendapatan tidak seiring dengan kos sara hidup. Bagi saya, bekalan ayam perlu diletakkan harga siling supaya mana-mana pihak seperti peniaga, orang tengah dan penternak tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna,” katanya.
Sumber: HM