Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti cadangan mengenakan hukuman 100 hingga 150 hari program khidmat masyarakat terhadap mereka yang mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU).

Persenda OKU. Ini Cadangan Hukuman Oleh KPWKM Kepada Pesalah

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata KPWKM berpandangan cadangan itu sesuai dilaksanakan kerana program khidmat masyarakat menggariskan tiga elemen utama, iaitu hukuman, pemulihan dan menginsafkan.

Jelasnya, kementerian akan meneliti lebih lanjut cadangan itu dalam proses semakan Akta OKU 2008.

Siti Zailah berkata lagi, KPWKM memandang serius insiden mendiskriminasi golongan OKU, terutama melalui penularan dalam media sosial.

Bagaimanapun, katanya, pewujudan remedi dan penalti yang munasabah bagi menangani isu itu memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.

Bagi menangani perlakuan jenayah berkenaan, beliau brkata, undang-undang yang terpakai di Malaysia kini adalah bawah Seksyen 233 (1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya OKU pula, Siti Zailah memaklumkan buat masa ini, sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan sistem perundangan lain yang sedia ada.

Menyentuh perkembangan status Pelan Tindakan OKU (PTOKU) 2016-2022, beliau berkata, KPWKM sedang menganalisis pencapaian program dan tindakan yang ditetapkan dalam pelan berkenaan, berdasarkan maklum balas diterima daripada agensi peneraju bagi setiap program serta tindakan bawah PTOKU.

Ujar beliau, dapatan analisis ini akan digunakan sebagai input untuk pembangunan Pelan Tindakan OKU yang baharu, selain libat urus membabitkan komuniti OKU, badan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian serta agensi yang akan diadakan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply