Peruntukan Pembangunan RMK12. Ini Jumlah Yang Diumum PM | Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengumumkan peruntukan yang akan ‘dibelanjakan’ oleh kerajaan bagi disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), baru-baru ini.
Menerusi pengumuman tersebut, dikatakan bahawa Kerajaan bakal memperuntukan sejumlah RM400 bilion bagi pembangunan negara selain menfokuskan RMK12 pada kali ini untuk lebih tertumpu kepada projek sambungan kerana peruntukan yang besar bagi melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021.
Beliau menjelaskan beliau sedar akan harapan keluarga Malaysia yang meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi selain menyifatkan kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, ahli Parlimen dan kerajaan negeri.
Walaubagaimanapun, keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.
Berikutan itu, peruntukan pembangunan kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan dan menjangkakan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh, jelasnya lagi.
Ismail Sabri turut menyebut dalam pengumuman tersebut bahawa dalam RMK11, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion bagi tujuan pembangunan iaitu merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial (26 peratus), keselamatan dan pertahanan (11 peratus), dan pentadbiran am (lima peratus).
Tambahnya lagi, perbelanjaan terbesar bagi sektor ekonomi adalah untuk menyediakan infrastruktur dan utiliti asas kepada rakyat.
Menerusi perbelanjaan yang diumumkan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Pandemik Covid-19 juga disifatkan sebagai penyumbang kepada terjejasnya kedudukan kewangan kerajaan dengan defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.
Sebelumnya, turut diumumkan juga bahawa hutang statutori kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK
Sumber: Sinar Harian