Peruntukan RM38.5 Juta Untuk Baik Pulih Kediaman Rasmi Perdana Menteri. Ini Penjelasan Muhyiddin | Sejak kebelakangan ini, tular satu berita mengenai projek kelulusan untuk membaik pulih kediaman Perdana Menteri iaitu Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, Mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memperjelaskan isu tersebut, baru-baru ini.
Menerusi laporan Awani, beliau ingin mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan berkenaan isu kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.
Kerosakan tersebut melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang. Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.
Selain itu, beliau turut dimaklumkan bahawa bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang. Menurut kenyataan media tersebut, pakar juga telah memberi sarananĀ mengenai sistem pendawaian bangunan Seri Perdana selepas ia dikatakan sudah berusia lebih 20 tahun dan ia boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.
Berdasarkan laporan yang beliau terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.
Oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.
Tambah beliau lagi, saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi justeru keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.
Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.
Bagi memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri.
Beliau percaya bahawa Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.
Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.
Beliau juga turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh perkidmatannya sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah menduduki kediaman Seri Perdana.
Sumber: Astro Awani