Pesawat Terhempas, Juruterbang Sempat Larikan Diri Sebelum Meletup | Dua juruterbang dipercayai mengalami nasib luar biasa apabila sempat melarikan diri selepas pesawat pengebom air dipandu mereka terhempas dan terbakar di kawasan terpencil Australia Barat pada Isnin lalu, memetik laporan Daily Star.
Difahamkan, pesawat Boeing 737 tersebut terhempas dan meletup di Taman Negara Fitzgerald yang terletak kira-kira 420km (260 batu) tenggara Perth.
Melihat kepada gambar yang dikongsikan dari lokasi nahas menunjukkan kepulan asap yang tebal dari pesawat dengan bahagian belakangnya terbakar sepenuhnya.
Susulan itu, pasukan kecemasan tiba di tempat kejadian dan menemui komponen belakang pesawat yang terpisah daripada bahagian yang lain.
Namun menakjubkan, kedua-dua juruterbang yang terlibat dalam nahas berkenaan boleh dikeluarkan dari hospital hanya sehari selepas insiden itu berlaku.
Sementara itu, Menteri Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Stephen Dawson memberitahu sidang media pada Selasa bahawa ia adalah sesuatu yang ajaib.
Apatah lagi apabila kedua-dua juruterbang itu masih mampu untuk menyelamatkan diri dan berjalan jauh dari pesawat itu.
Stephen berkata, mereka sangat bersyukur kerana juruterbang itu sihat dan ia benar-benar luar biasa dan ia membuktikan kedua-dua mangsa itu mahir sebagai seorang juruterbang.
Angus Mitchell, Ketua Pesuruhjaya Biro berkata bahawa ia adalah hasil yang luar biasa bahawa kedua-dua anak kapal telah berjaya keluar dari pesawat dalam keadaan selamat dan sihat.
Beliau juga berkata, sebuah pesawat besar yang jatuh pada umumnya adalah suatu malapetaka. Sudah tentu pendaratan mendatar berbanding menegak ke tanah adalah satu perbezaan yang besar.
Dalam pada itu, para penyiasat turut menyiasat lokasi kejadian itu pada Rabu, semalam.
Ditambah pula, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia mengatakan bahawa nahas tersebut adalah kemalangan pertama yang membabitkan Boeing 737 dalam sejarah Australia.
Imbas kembali, sebelum ini kejadian yang sama pernah berlaku pada Januari 2020, di mana ia telah mengorbankan tiga juruterbang warga Amerika.
Ia terjadi apabila sebuah kapal tangki C-130 Hercules terhempas di pantai timur New South Wales sehingga mengundang kepada kebakaran hutan pada ketika itu.
Sumber: Siakap Keli
Artikel Lain
Pesawat Tentera Udara Filipina Terhempas
Pesawat Tentera Udara Filipina Terhempas | Jurucakap tentera berkata sebuah pesawat Tentera Udara Filipina (PAF) terbabit dalam kemalangan semasa sesi latihan pada Rabu.
Jurucakap PAF Ma Consuelo Castillo dalam satu kenyataan berkata, pesawat SF260 dengan dua juruterbang itu terhempas di wilayah Bataan, barat Manila, lapor Xinhua.
Castillo berkata, pesawat itu berlepas dari pangkalan tentera di Sangley Point di wilayah Cavite, 9.59 pagi waktu tempatan.
Beliau berkata bahawa mereka kehilangan jejak pesawat lebih 30 minit selepas penerbangan berlepas.
Radio tempatan DZBB berkata, serpihan pesawat itu ditemukan di bandar Pilar di Bataan bersama mayat dua juruterbang itu.
Pada petang Selasa, sebuah pesawat peribadi enam tempat duduk hilang di wilayah Isabela, utara Manila.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari pesawat Cessna itu, juruterbang dan lima penumpangnya.
Sumber: Sinar Harian
Lebih 16 M@ut Pesawat Terhempas Di Nepal | Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh selepas sebuah pesawat yang membawa 72 orang penumpang terhempas di Nepal.
Menurut laporan media, pesawat itu terhempas di antara lapangan terbang lama dan baharu Pokhara di tengah Nepal.
Jurucakap syarikat penerbangan, Sudarshan Bartaula berkata, pesawat enjin berkembar ATR 72 yang dikendalikan oleh Yeti Airlines Nepal itu turut membawa dua bayi, empat anak kapal dan 10 warga asing.
Krishna Bhandari, jurucakap tentera berkata, mereka menjangkakan untuk mengenal pasti lebih banyak mayat.
Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal berkata, pesawat itu dalam penerbangan dari Kathmandu ke Pokhara dan menggesa anggota keselamatan serta orang ramai turut membantu dalam usaha menyelamat.
Pokhara merupakan sebuah bandar pelancongan yang sibuk kira-kira 200 kilometer di barat ibu kota Kathmandu.
Televisyen tempatan menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul dari lokasi nahas ketika pekerja penyelamat dengan orang ramai berkumpul di sekitar serpihan pesawat itu.
Gurudutta Dhakal, pegawai tempatan, menyatakan bahawa pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan cuba memadamkan api. Semua agensi kini menumpukan usaha memadamkan kebakaran terlebih dahulu dan menyelamatkan penumpang.
Sumber: Utusan Malaysia